comscore
Tumpuan :
Sukan

Bagnaia Hampiri Gelaran Juara Dunia, Damok Bakal Cetus Sensasi

| Oleh: Fariz Zolkarnain

Foto: Facebook MotoGP

SEPANG: Pelumba Ducati, Francesco Bagnaia berjaya mengungguli saingan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sebentar tadi.

Kejayaan itu menyaksikan pelumba kelahiran Itali berusia 25 tahun berkenaan semakin menghampiri gelaran juara dunia buat kali pertama dalam kelas tertinggi selepas mengumpul 258 mata.

Pelumba Gresini Racing, Enea Bastianini yang ketinggalan 0.270 saat berpuas hati di tempat kedua manakala penyandang juara dunia, Fabio Quartararo dari pasukan Monster Energy Yamaha akur di tempat ketiga.

Berbaki satu lagi perlumbaan di Valencia, Sepanyol, 6 November depan, Bagnaia kini berkelebihan 23 mata berbanding Quartararo.

Bagnaia hanya memerlukan sekurang-kurangnya dua mata atau menamatkan perlumbaan di tempat ke-14 di Valencia untuk dinobat selaku juara keseluruhan musim ini.

Dalam pada itu, penentuan juara dunia bagi kelas Moto2 juga berlanjutan di Valencia apabila pendahulu ketika ini, Augusto Fernandez (Red Bull KTM Ajo) menamatkan perlumbaan di tempat keempat untuk mengumpul 251.5 mata.

Fernandez hanya berkelebihan 9.5 mata berbanding Ai Ogura (Idemitsu Honda Team Asia) yang terjatuh pada baki pusingan terakhir di Sepang.

Kelas Moto2 dimenangi pelumba Elf Marc VDS Racing Team, Tony Arbolino dengan catatan 38 minit 25.233 saat (s), Alonso Lopez (Beta Tools Speed Up) di tempat kedua, 38’36.644s manakala Jake Dixon (Inde GASGAS Aspar Team) ketiga, 38’38.439s.

Dua pelumba wildcard negara, Kasma Daniel Kasmayudin dan Azroy Hakeem Anuar masing-masing menamatkan perlumbaan di tempat ke-19 dan 22.

Kelas Moto3, John McPhee (Sterilgarda Husqvarna Max) meraih kemenangan pertamanya musim ini sekaligus mengatasi rakan sepasukannya, Ayumu Sasaki di tempat kedua dan Sergio Garcia (Gaviota GASGAS Aspar Team) di tempat ketiga.

Bagaimanapun tumpuan tetap terarah kepada seorang lagi pelumba wildcard negara, Syarifuddin Azman yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-16.

Jumaat lalu, Syarifuddin atau dikenali sebagai Damok diumum akan menyertai Moto3 secara musim penuh tahun depan bersama pasukan dari Sepanyol, MTHelmets-MSI.

Loading...
Terkini