comscore
Tumpuan :
Sukan

BASIKAL: PKBM harap hutang ditanggung penganjur 2022 diselesaikan, elak LTdL dikenakan sekatan

Datuk Abu Samah (paling kiri) menjelaskan UCI mungkin tidak mendaftarkan perlumbaan LTdL pada 2024 jika tidak melunaskan bayaran pasukan tahun lalu. Foto Facebook Majlis Sukan Negara Malaysia

PUTRAJAYA: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bimbang dengan masa depan Le Tour de Langkawi (LTdL) selepas ini apabila saingan tersebut berdepan kemungkinan tidak didaftarkan Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab memberitahu, pihaknya sudah mendapat surat daripada badan induk antarabangsa yang mahukan penganjur edisi tahun lalu melunaskan bayaran kepada beberapa pasukan.

“Kita tahu sekarang dapat angka daripada UCI yang dah hantar surat, ada lima pasukan tak dibayar. Ini bukan hadiah kemenangan tapi yuran penampilan, tiket kapal terbang. Bila pasukan ni tak dapat duit, mereka report kepada UCI,” katanya selepas pelancaran LTdL di Putrajaya hari ini.

“Sampai sekarang tak diselesaikan lagi, ini satu isu yang paling besar, dimana kalau kita tak boleh uruskan pada tahun ini, tahun 2024 kemungkinan besar, UCI tak akan daftar LTdL,”

Beliau menjelaskan penganjur sebelum ini Human Voyage mempunyai hutang keseluruhan lebih sejuta ringgit kepada pasukan yang datang mengambil bahagian pada 2022.

Pihaknya ada cuba menghubungi penganjur tersebut namun tidak mendapat maklum balas.

“Kita nak bincang dengan mereka tapi tak angkat telefon, pejabat pun tak ada, hanya yang kita minta daripada KBS (Kementerian Belia dan Sukan), mengatakan mereka masih belum tuntut 1.1 juta ringgit dan duit bon 400 ribu ringgit. Kita mintak jangan dilepaskan kepada mereka, biar dapat dihantar atau dibayar kepada pasukan yang buat tuntutan” tambahnya lagi.

Harapannya juga ialah KBS dan MSN dapat menyelesaikan perkara ini secepat mungkin sebagai jaminan dan keyakinan kepada pasukan serta pelumba untuk kembali berkayuh di Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Operasi edisi ke-27 Emir Abdul Jalal mengakui masalah yang dihadapi itu mempengaruhi proses perbincangan dengan pasukan-pasukan luar khususnya berstatus dunia (UCI World Team).

“Memang sukar nak dapatkan tiga pasukan kategori ni sebab ada masalah itu kan. Kita mewarisi sesuatu yang tidak baik tetapi kita akan cubalah. Dapat dua atau satu ke, memang satu perkara yang luar biasa untuk buat, tahun ini,” jelas Emir selepas sidang media pelancaran.

Kos menganjurkan Le Tour de Langkawi yang mantap menelan perbelanjaan sehingga 15 juta ringgit, namun kali ini kerajaan hanya memperuntukkan lapan juta ringgit sahaja.

“Sasaran kita seterusnya ialah mendapatkan penaja, sebab bajet diberikan agak kecil, dengan bajet yang ada memang tak cukuplah, itu realitinya. Kita memang akan buat sebaik yang mungkin, dengan tambahan penaja kita akan kembalikan macam LTDL dahulu,” menurut Emir yang mempunyai pengelaman mengendalikan LTdL pada tahun-tahun sebelumnya.

Perlumbaan sejauh lapan peringkat itu dijadual bermula pada 23 September dari Kerteh, menyaksikan ia menjelajahi 1,280 kilometer melalui 11 negeri kecuali Perlis di semenanjung hinggalah berakhir di Kuala Lumpur tujuh hari kemudian.

Loading...
Terkini