comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK: Ketajaman Faisal jadi harapan Harimau Malaya di Hanoi

FOTO: FAM / Facebook

HANOI: Mohamad Faisal Abdul Halim berpeluang melakar sejarah tersendiri ketika menyarung jersi Harimau Malaya menentang Vietnam di Hanoi malam ini.

Pemain sayap itu kini sudah menjaringkan gol dalam empat perlawanan berturut-turut bersama pasukan kebangsaan dimulakan dengan gol pertama dan ketiga semasa menewaskan Kemboja 4-0.

Faisal yang mesra disapa ‘Mickey’ kemudian menjaringkan gol negara dalam kemenangan 3-0 ke atas Maldives disusuli muncul wira menyumbat gol tunggal ke atas Myanmar di perlawanan pembukaan kumpulan B Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).

Rentak penyerang berusia 24 tahun itu terus memuncak apabila mencatat jaringan kedua dan ketiga ketika membenam Laos 5-0 empat hari lalu.

FOTO: FAM / Facebook

Justeru, inilah peluang dan detik terbaik dirinya menambah catatan enam gol dalam penampilan kelima berturut-turut dengan turun di My Dinh Stadium.

“Saya mahu terus jaringkan gol untuk bantu pasukan, namun jika saya tidak dapat menjaringkan gol pun saya tidak kisah asalkan kami mendapat sesuatu yang positif di sini,” kata Faisal yang juga merupakan salah seorang daripada tiga ketua pasukan negara kali ini di sidang media pra-perlawanan semalam.

Pemain barisan hadapan Terengganu (TFC) yang baharu disambar Selangor FC itu bagi musim 2023 menjadi aset skuad negara meledak 13 gol sejak perlawanan persahabatan sulung bergandingan dengan Lee Tuck, Sergio Aguero, Darren Lok, Muhammad Safawi Rasid dan Muhammad Haqimi Azim Rosli di posisi penggempur.

FOTO: FAM / Facebook

Vietnam pula yang memiliki rekod mantap ke atas Malaysia menang 1-0 ke atas Filipina dalam aksi persahabatan diikuti membelasah Laos 6-0 dalam aksi pertama kempen AFF.

Harimau Malaya menyasarkan keputusan positif di tempat lawan jam 8.30 malam ini membolehkan terus mengintai tempat ke peringkat separuh akhir berbaki satu lagi perlawanan menentang Singapura 3 Januari depan.

Loading...
Terkini