comscore
Tumpuan :
Sukan

BOLA SEPAK – Perebutan trofi EPL tak jejas hubungan dengan Guardiola – Arteta

Artera (kanan) pernah bertugas sebagai pembantu Guardiola di Manchester City. – FOTO: AFP

LONDON: Arsenal dan Manchester City kini bersaing hebat untuk merebut gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, tetapi pengurus kelab utara London, Mikel Arteta, berkata situasi itu tidak menjejaskan persahabatannya dengan Pep Guardiola.

Arteta yang juga bekas pemain tengah pernah bertugas sebagai penolong Guardiola di City sejak 2016 hingga 2019 sebelum Arsenal melantiknya sebagai pengurus bagi menggantikan Unai Emery.

Skuad bimbingan Arteta kini di tangga teratas liga dengan 50 mata selepas 19 perlawanan, lima mata di depan City yang menduduki tempat kedua dan bermain lebih satu perlawanan.

Kedua-dua pasukan akan bertemu di pusingan keempat Piala FA di Stadium Etihad, malam esok.

Ditanya bagaimana perasaannya apabila berentap secara satu lawan satu dengan Guardiola di EPL dan Piala FA, Arteta berkata: “Saya sentiasa harap ia berlaku satu hari nanti dan ia berlaku pada musim ini.

“Sudah tentu, ia tidak akan menjejaskan persahabatan, betapa pentingnya dia dalam hidup serta karier saya.

“Sudah pasti, kami mahu menang dan mempertahankan kelab kami dengan sebaik mungkin. Ia menjadi keutamaan sejak hari pertama lagi.”

Arteta yang mengemudi Arsenal menjulang Piala FA pada 2019-20 berkata, kemenangan ke atas City pada Jumaat akan memberikan momentum serta meningkatkan keyakinan pasukannya.

“Pada dasarnya, ia akan mentakrifkan musim kami, ya, kerana jika kami menang pada Jumaat, kami akan mara ke pusingan berikutnya manakala mereka tersingkir,” kata Arteta.

“Ini adalah kejohanan penting untuk kami dan menang akan menentukan detik ini, sudah pasti, selain memberi kami peluang terus melangkah dan memenangi trofi.

“Pada pendapat saya, ini adalah ujian besar apabila berdepan pasukan bola sepak terbaik di dunia. Saya teruja menantinya dan ia akan membayangkan di mana kami berada sekarang.”

Perlawanan itu adalah pertemuan pertama kedua-dua pasukan pada musim ini. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini