comscore
Tumpuan :
Sukan

‘Bukan nasib, 34 emas ini kemenangan bermaruah, usaha atlet’

Ketua Kontinjen Sukan SEA 2023. Datuk Mohd Nasir Ali ketika sidang media rangkuman prestasi Sukan SEA 2023, di Dewan Casa 4, MSN Bukit Jalil.

KUALA LUMPUR: Tidak wajar mengatakan kegagalan kontinjen negara mencapai sasaran 40 pingat emas di Sukan SEA 2023 mengecewakan, sebaliknya temasya itu menghadirkan impak positif khususnya bagi bakat muda negara.

Situasi itu diakui Ketua Kontinjen Sukan SEA 2023, Datuk Mohd Nasir Ali yang melihat situasi itu harus menjadi titik kebangkitan dan prestasi diperagakan atlet muda memberi petanda baik bagi menghadapi edisi 2025 di Thailand dan 2027 di laman sendiri.

Tegasnya, semua 674 atlet terpilih sudah berusaha sedaya upaya untuk memberikan prestasi yang terbaik sehingga berjaya menyumbangkan 34 pingat emas pada edisi kali ini.

“Sukan SEA kali ini memberikan pengajaran besar. Kita tak capai sasaran, boleh bagi bermacam-macam alasan dan sebab tetapi kita tidak boleh nafikan mereka (atlet) sudah mencuba sedaya upaya.

“Namun, kita tidak boleh menafikan 34 pingat emas ini adalah berkualiti dan kemenangan yang bermaruah, bukannya menang hanya disebabkan nasib. Kita tidak boleh lupakan siapakah pemenang 34 pingat emas ini?

“Kita ada bakat-bakat baharu contohnya Umar (Osman) acara 400 meter (m) dan pemain golf berumur 15 tahun (Ng Jing Xuen) yang sebelum ini memenangi gangsa di Hanoi tetapi kali ini berjaya mendapatkan pingat emas.

“Seluruh episod kejayaan atau tidak, Sukan SEA ini perlu menjadi titik kebangkitan dan membuka mata semua pihak. Tidak perlu nak debat sasaran, jadikan ia satu paras di mana kita akan memperbaikinya,” katanya pada sidang media rangkuman prestasi kontinjen Sukan SEA 2023 di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Dalam masa sama, Nasir berharap langkah seterusnya dapat dilakukan oleh persatuan-persatuan sukan bagi memastikan bakat atlet yang dikenal pasti dapat meningkat ke satu tahap lebih tinggi.

“Larian 44 saat yang dilakukan Umar perlu mengambil masa empat hingga lima tahun untuk jadi juara. Apa kita nak buat sebab dia adalah bintang negara sekarang. Adakah hantar dia ke luar negara atau dapat latihan istimewa? Jadi kita kena rancang.

“Ia juga bukan mengenai pemain golf umur 15 tahun (Ng Jing Xuen) menang Sukan SEA tetapi bagaimana kita mahu memastikan dia menjadi juara Asia, juara remaja Asia dalam sukan golf,” katanya.

Loading...
Terkini