comscore
Tumpuan :
Sukan

Pencapaian hambar di Kemboja tidak akan berulang di Hangzhou

FOTO: NSTP

SEREMBAN: Prestasi hambar kontinjen negara di Sukan SEA di Kemboja, baru-baru ini, tidak akan berlarutan di temasya Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China, yang dijadual akan berlangsung dari 23 September hingga 8 Oktober depan.

Keyakinan itu disuarakan Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Suhardi Alias, dengan menyifatkan kedua-dua temasya berkenaan mempunyai senario yang berbeza.

Katanya, acara sukan yang dipertandingkan di Sukan Asia adalah berbeza dengan apa yang dilaksanakan di Sukan SEA.

“Di Sukan Sea terdapat acara sukan-sukan baharu yang dipertandingkan berpihak kepada tuan rumah tetapi di Sukan Asia, kualiti pertandingan berbeza dengan sebahagian besar acara itu dipertandingkan di peringkat Olimpik.

“Ini bermaksud semua negara mempunyai peluang yang sama untuk memperoleh kecemerlangan di Sukan Asia dan amat penting untuk kita menerapkan persediaan yang baik.

“Malah, kita akan dapat mengurangkan risiko daripada acara sukan yang pelik dipertandingkan ketika di Sukan Sea,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Negeri Sembilan Ke Sukan Sea Kemboja, di Klana Resort di sini, semalam.

Majlis disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan yang turut hadir, Exco Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohamad Taufek Abdul Ghani.

Mengulas mengenai sasaran kutipan pingat di Sukan Asia, Suhardi berkata, perkara itu akan bergantung kepada mesyuarat penetapan sasaran pingat yang akan membabitkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), persatuan sukan, pengurus pasukan dan jurulatih.

Beliau berkata, mesyuarat itu akan diadakan dua minggu sebelum temasya Sukan Asia membuka tirainya iaitu kemungkinan pada awal September nanti.

Loading...
Terkini