comscore
Tumpuan :
Sukan

City, Liverpool teruskan kemaraan

Pemain tengah Manchester City, Riyad Mahrez menjaringkan gol pertama pasukannya menerusi sepakan percuma ketika menentang Chelsea di Etihad. – Foto: AFP

UNITED KINGDOM: Manchester City terus meningkatkan tekanan terhadap Graham Potter menerusi kemenangan 2-0 mengatasi Chelsea untuk mara ke kelompok 16 terakhir Piala Liga sebentar tadi manakala Arsenal dan Tottenham tersingkir.

Skuad Gunners tewas 3-1 di laman sendiri kepada Brighton, manakala Spurs mengalami kekalahan 2-0 di Nottingham Forest walaupun turut menyenaraikan Harry Kane.

Penyandang juara, Liverpool masih terselamat apabila mereka memerlukan penalti untuk mengatasi caaran pasukan League One, Derby selepas seri 0-0 pada masa penuh di Anfield.

City menang pertembungan dua pasukan yang banyak berubah di Etihad apabila dua gol Riyad Mahrez dan Julian Alvarez membawa skuad Pep Guardiola ke pusingan seterusnya.

Mahrez melencongkan bola hasil sepakan percuma dari luar kotak penalti bagi memecahkan kebuntuan selepas aksi sengit 45 minit pertama.

Alvarez kemudiannya meledak gol ketiganya selepas cubaan awal Mahrez dinafikan penjaga gol.

Arsenal kini sedang mendahului City di persada Liga Perdana namun tidak boleh menambah gelaran Piala Liga sejak 1993 selepas Brighton meneruskan rentak hebat mereka di bawah kendalian Roberto De Zerbi.

Eddie Nketiah meletakkan tuan rumah di depan dekat Emirates namun kesilapan penjaga gol Karl Hein pada penampilan pertamnaya bersama Arsenal membolehkan Danny Welbeck menyamakan kedudukan menerusi penalti.

Sepakan kencang Kaoru Mitoma menukar keadaan sebelum Tariq Lamptey meledak gol ketiga 19 minit sebelum tamat.

Pengurus England, Gareth Southgate mungkin kecewa selepas melihat penampilan Kane di City Ground pada malam sebelum dia menamakan pemain ke dalam skuad Piala Dunia.

Kapten England itu akhirnya dapat berehat pada setengah jam terakhir ketika Antonio Conte tampak sudah mengalah apabila pasukannya ketinggalan 2-0. – AFP/BERITA HARIAN

Loading...
Terkini