comscore
Tumpuan :
Sukan

Conte kecewa, Spurs tak berubah

FOTO: REUTERS

UNITED KINGDOM: Pengendali Tottenham Hotspur, Antonio Conte menyelar barisan pemainnya yang ‘mementingkan diri sendiri’ dan berkata, ‘mereka tidak mahu bermain di bawah tekanan’ selepas mensia-siakan peluang untuk melonjak kedudukan ke tempat ketiga dalam Liga Perdana Inggeris selepas seri 3-3 dengan Southampton di tempat lawan.

Spurs berada di landasan untuk memastikan kemenangan penting dalam usaha mereka melayakkan diri ke Liga Juara-Juara apabila Ivan Perisic menjaringkan gol pada minit ke-74 selepas gol awal Pedro Porro dan Harry Kane.

Pelawat mendahului 3-1 pada peringkat itu, selepas Che Adams menyamakan gol pembukaan Porro.

Tetapi Saints membalas, dengan Theo Walcott mengurangkan defisit pada minit ke-77 sebelum penalti James Ward-Prowse pada masa kecederaan melebarkan rekod tanpa kemenangan Spurs kepada lima perlawanan.

Kekalahan Tottenham baru-baru ini kepada AC Milan dan Sheffield United menyaksikan mereka tersingkir dari Liga Juara-Juara dan Piala FA dan menjadikan kelab itu kini 15 tahun tanpa trofi utama.

Conte tidak berminat untuk meluahkan perasaan terhadap skuadnya ketika 10 minit terakhir di St Mary’s dengan Tottenham kini hanya dua mata di depan Newcastle, yang ada dua aksi dalam tangan dalam pemburuan mendapatkan empat tempat teratas dan kedudukan terakhir ke Liga Juara-Juara.

“Kami 11 pemain yang memasuki padang. Saya lihat pemain mementingkan diri sendiri, saya melihat pemain yang tidak mahu membantu antara satu sama lain dan tidak sepenuh hati,” katanya.

“Kenapa? Kerana mereka sudah biasa buat begitu di sini, mereka sudah terbiasa. Mereka tidak bermain untuk sesuatu yang penting. Mereka tidak mahu bermain dalam tekanan, mereka tidak mahu bermain dalam keadaan tegang.

“Ia mudah dilihat. Cerita Tottenham seperti ini. Selama 20 tahun mereka ada pemilik dan mereka tidak pernah menang sesuatu, kenapa? Hanya kelab dipersalahkan atau setiap pengurus yang kekal di sini. Saya melihat pengurus yang pernah Tottenham ambil.”

Bagaimanapun pengendali berusia 53 tahun dari Itali yang sebelum ini bersama Juventus, Chelsea dan Inter Milan selain pasukan kebangsaan Itali, menyatakan simpati buat penyokong setia Spurs.

“Sehingga kini cuba menyembunyikan situasi tetapi kini, tidak kerana saya ulangi, saya tidak mahu melihat apa yang saya lihat hari ini kerana ia tidak boleh diterima dan ia juga tidak boleh diterima penyokong,” tambahnya.
– HARIAN METRO

Loading...
Terkini