comscore
Tumpuan :
Sukan

Copa America 2024: Uruguay lepasi halangan pertama

Penyerang Uruguay, Darwin Nunez (kanan) meraikan jaringannya berdepan Panama di Stadium Hard Rock. – Foto: Reuters

FLORIDA: Maximilian Araujo, Darwin Nunez dan Matias Vina masing-masing meledak satu gol ketika Uruguay menewaskan Panama 3-1 dalam perlawanan Kumpulan C, Copa America di Florida, sebentar tadi.

Uruguay yang memenangi gelaran Copa America sebanyak 15 kali tidak menunggu lama untuk mendahului apabila Araujo menghadiahan gol pertama menerusi sepakan lencong cantik dari luar kotak penalti pada minit ke-16.

Panama mempamerkan penguasaan selepas waktu rehat tetapi mensia-siakan beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan.

Penyerang Kelab Liverpool, Nunez menambah derita Panama apabila meledak gol kedua Uruguay pada minit ke-85 menerusi sepakan voli yang menerjah ke sudut bawah gawang.

Pada masa kecederaan, Vina melompat tinggi untuk menanduk masuk gol ketiga Uruguay dari situasi bola mati sebelum Michael Amir Murillo menjaringkan gol sagu hati buat Panama.

Terdahulu, tuan rumah, Amerika Syarikat mencatat kemenangan 2-0 ke atas Bolivia dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini