comscore
Tumpuan :
Sukan

EPL: Villa belasah Sheffield, Everton ikat Spurs

Pemain Aston Villa, Alex Moreno meraikan jaringannya ketika membelasah Sheffield United 5-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Bramall Lane, Sheffield. – FOTO: Reuters

LONDON: Aston Villa memintas Tottenham untuk berada di tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membelasah pasukan tercorot, Sheffield United, 5-0 di Bramall Lane, malam tadi.

Skuad kendalian Unai Emery itu mendahului permainan seawal minit ke-12 menerusi John McGinn. Ollie Watkins menambah jaringan empat minit kemudian dan Leon Bailey menjaringkan gol ketiga Villa pada minit ke-20.

Jaringan Youri Tielemans pada minit ke-30 menyaksikan Villa menjadi pasukan pelawat pertama meledak empat gol dalam tempoh 30 minit awal aksi EPL sejak Chelsea melakukannya di Bolton pada tahun 2011.

Alex Moreno terus menambah derita The Blades dengan gol kelima Villa hanya dua minit selepas rehat.

Villa kini lima mata di belakang pendahulu, Liverpool yang akan bertandang ke Arsenal malam ini.

Penyerang Tottenham, Richarlison (kanan) meledak dua gol ketika aksi Liga Perdana Inggeris menentang Everton di Goodison Park, Liverpool. – FOTO: Reuters

Sementara itu, pasukan bergelut EPL, Everton berjaya mengikat Tottenham 2-2 di Goodison Park.

Penyerang Tottenham, yang juga bekas pemain Everton, Richarlison berjaya meledak dua gol.

Dia kini yang sudah menjaringkan sembilan gol dalam lapan perlawanan liga terakhir Tottenham, meletakkan pelawat di depan pada minit keempat dan meledak gol kedua pada minit ke-41.

Everton menyamakan kedudukan pada minit ke-30 menerusi Jack Harrison sebelum Jarrad Branthwaite menemui sasaran dalam masa kecederaan.

“Perlawanan di sini tidak pernah mudah. Biasanya kami dapat menanganinya tetapi kali ini kami tidak dapat bertahan,” kata pengendali Tottenham, Ange Postecoglou.

Everton yang menghuni tangga ketiga tercorot belum menang dalam enam aksi terakhir liga, tetapi pengendalinya, Sean Dyche berkata: “Kami berhak untuk sekurang-kurangnya seri, jika tidak tiga mata.” -AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini