comscore
Tumpuan :
Sukan

Euro 2024: Gol Fuellkrug pastikan Jerman juarai kumpulan A

Penyerang Jerman, Niclas Fuellkrug (jersi nombor 9) menanduk masuk gol penyamaan pada minit kedua masa kecederaan ketika menentang Switzerland pada aksi Euro 2024 di Frankfurt, sebentar tadi. – Foto: Reuters


FRANKFURT, Jerman: Tandukan Niclas Fuellkrug pada masa kecederaan membantu Jerman seri 1-1 menentang Switzerland sebentar tadi di Frankfurt, memastikan tuan rumah Euro 2024 itu berakhir sebagai juara Kumpulan A.

Diketuai pemain tengah berpengalaman menampilkan kapten Ilkay Gundogan dan Toni Kroos, Jerman menumpaskan kedua-dua Scotland dan Hungary dalam dua perlawanan pertama Euro mereka untuk memberikan tuan rumah harapan mara lebih jauh pada kejohanan itu.

Tuan rumah bagaimanapun terperangkap dengan kekuatan tenaga pemain Switzerland dan gagal menyudahkan banyak peluang baik berdepan benteng pertahanan padu lawan.

Mereka mendahului awal apabila Dan Ndoye merembat masuk dari jarak dekat selepas 28 minit untuk mengejutkan tuan rumah.

Penyerang Switzerland, Dan Ndoye (tengah) menewaskan penjaga gol Jerman, Manuel Neuer bagi gol pembukaan pada aksi Euro 2024 di Frankfurt Arena, Frankfurt sebentar tadi. – Foto: Reuters




Jerman mengambil risiko pada lewat perlawanan dengan harapan untuk menjaringkan gol penyamaan dan penyerang veteran Fuellkrug bertindak cemerlang, menanduk masuk pada minit kedua masa kecederaan.

Di sebalik gol penyamaan lewat Fuellkrug, jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann perlu mencari jalan penyelesaian selepas persembahan hambar anak buahnya.

Sekalipun sudah layak ke pusingan 16 terakhir, Nagelsmann memutuskan untuk menurunkan kesebelasan sama bagi perlawanan ketiga berturut-turut.

Ia mungkin satu keputusan yang dikesalinya apabila pemain pertahanan Jonathan Tah dilayangkan kad kuning, kad keduanya pada peringkat kumpulan, bermakna dia akan terlepas aksi pertama Jerman pada peringkat kalah mati.

Keputusan itu bermakna Switzerland bakal berdepan tugasan getir pada pusingan 16 terakhir, mencipta potensi pertembungan dengan juara bertahan Itali atau naib juara Piala Dunia 2018, Croatia.

Manakala Jerman kemungkinan berdepan pasukan tangga kedua dalam Kumpulan C yang kini dihuni Denmark.

Loading...
Terkini