comscore
Tumpuan :
Sukan

Euro 2024: Sepanyol mara ke pusingan 16, tewaskan juara bertahan

Penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma akhirnya tewas dengan jaringan sendiri rakan sepasukan, Riccardo Calafiori ketika aksi Kumpulan B Euro 2024 menentang Sepanyol di Arena AufSchalke, Gelsenkirchen. – Foto REUTERS

GELSENKIRCHEN: Sepanyol mengesahkan tempat ke pusingan 16 terakhir Euro 2024 selepas menewaskan juara bertahan, Itali 1-0 dalam aksi Kumpulan B di Arena AufSchalke.

Aksi cemerlang penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma berjaya menafikan deretan percubaan Sepanyol sepanjang permainan, namun dia akhirnya tewas selepas bola terkena pertahanan sendiri dan menerjah gawang.

Pedri hampir membuka jaringan untuk Sepanyol selepas satu minit sepak mula apabila menanduk hantaran Nico Williams, namun ditolak keluar oleh Donnarumma.

Pada minit ke-10, Williams pula terlepas peluang membuka jaringan apabila tandukannya tersasar selepas mendapat hantaran tepat daripada kapten Sepanyol, Alvaro Morata.

Donnarumma sekali lagi memastikan gawang Itali tidak dibolosi apabila menepis keluar rembatan padu Fabian Ruiz pada minit ke-25.

Bersambung babak kedua, Sepanyol terus mengasak gawang Itali tetapi beberapa percubaan mereka sama ada dinafikan tiang gol atau Donnarumma.

Donnarumma akhirnya tewas selepas bola tampanannya terkena pertahanan sendiri, Riccardo Calafiori dan menerjah gawang pada minit ke-55.

Sepanyol mempunyai beberapa peluang lagi di akhir permainan menerusi Ayoze Perez, tetapi gagal mengatasi Donnarumma.

Kemenangan tipis itu sudah cukup untuk membawa Sepanyol ke peringkat 16 terakhir. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini