comscore
Tumpuan :
Sukan

FIFA tukar bola bermula separuh akhir

FOTO: REUTERS

DOHA: Bola baharu FIFA, ‘bola impian’ sudah mula digunakan ketika kemenangan 3-0 Argentina ke atas Croatia pada separuh akhir Piala Dunia pagi tadi dan akan digunakan hingga ke final.

Bola itu dinamakan Al-Hilm, bermakna Impian dan menggantikan bola yang digunakan sepanjang Piala Dunia setakat ini, Al-Rihla atau Perjalanan.

Pasukan terpaksa menyesuaikan diri dengan cengkaman bola baharu seberapa pantas yang boleh, ketika ia hanya diperkenalkan beberapa hari sebelum separuh akhir.

Dalam satu kenyataan FIFA, mereka berkata: “Al-Hilm termasuk teknologi ‘connected ball’ Adidas yang sama seperti Al-Rihla.”

FIFA berkata, teknologi itu amat berguna membantu pegawai perlawanan membuat keputusan dengan cepat dan lebih tepat ketika Piala Dunia kali ini.

Teknologi itu juga membolehkan keputusan mengenai ofsaid dibuat lebih cepat ketika pegawai boleh melihat detik sebenar pergerakan bola itu.

Bola itu turut membantu mengenal pasti sama ada Cristiano Ronaldo sebenarnya menyentuh bola susulan hantaran silang Bruno Fernandes ketika kemenangan Portugal ke atas Uruguay.

Penderia atau ‘sensor’ dalam bola itu digunakan untuk memutuskan Ronaldo tidak menyentuh bola sekalipun dia meraikan gol itu seolah-olah miliknya.

FIFA berkata, reka bentuk bola itu dicetuskan oleh negara tuan rumah dan trofi Piala Dunia itu sendiri.

Menurut FIFA, bola itu dibentuk menerusi warna ‘padang pasir yang berkilauan di wilayah mengelilingi bandaraya Doha, warna trofi Piala Dunia dan corak bendera Qatar.’

Loading...
Terkini