comscore
Tumpuan :
Sukan

KBS, MSN dan LHDN pergiat urusan kewangan atlet negara

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Dalam usaha mempergiatkan sesi advokasi dan konsultasi pengurusan kewangan kepada atlet negara, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) akan bekerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, sesi berkenaan bertujuan untuk memberi penerangan lebih mendalam kepada atlet mengenai pendapatan yang perlu dan tidak perlu dicukaikan.

Beliau berkata sesi konsultasi itu akan turut melibatkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) serta semua jabatan dan persatuan sukan kebangsaan.

“Perkara ini memang jadi satu kekeliruan dalam kalangan atlet sebab mereka tidak menerima gaji bulanan tetap. Mereka sertai pertandingan kemudian menang wang ganjaran yang ada kala jumlahnya banyak dan ada kalanya sedikit.

“Ada masa jumlah diterima perlu dicukaikan dan sebaliknya, jadi timbul kesulitan untuk mereka memahami sama ada mereka perlu membayar cukai atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Liga Sukan Komuniti (LSK) Peringkat Kebangsaan 2023 di sini, hari ini.

Beliau  diminta mengulas mengenai cadangan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria agar MSN dan LHDN bekerjasama memberi kesedaran pembayaran cukai kepada atlet.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa terdapat 243 kes tunggakan cukai membabitkan jumlah keseluruhan kerugian mencecah RM15.873 juta dalam kalangan komuniti sukan, termasuk atlet.

Pada perkembangan lain, Adam Adli berkata, LSK peringkat kebangsaan bermula hari ini sehingga Ahad di Bandaraya Sukan Kuala Lumpur (KLSC), menyasarkan lebih 60,000 peserta melibatkan acara futsal, bola jaring, sepak takraw dan bola keranjang.

LSK 2023 bermula sejak Julai lepas dengan penganjuran di peringkat daerah, diikuti negeri dan kebangsaan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini