comscore
Tumpuan :
Sukan

Garrido cuba elak gol mudah lawan

Garrido diharap mampu melakar percaturan lebih jitu berdepan Vietnam pada aksi kedua Kumpulan D Piala Asia B-23 di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha malam esok. – Foto: FAM

PETALING JAYA: Perlawanan pertama menentang Uzbekistan dalam Kumpulan D saingan Piala Asia bawah 23 (B-23) yang menyaksikan Malaysia tewas 0-2 nyata sudah membuka mata jurulatih skuad Harimau Muda, Juan Torres Garrido.

Selain ketumpulan jentera serangan, Garrido mengakui pemainnya ‘gemar’ memberi gol mudah kepada lawan, terutamanya menerusi sepakan penalti.

Insiden sepakan penalti berulang lagi ketika menentang Uzbekistan pada lewat babak pertama, sesuatu yang tidak seharusnya berlaku.

“Ia (beri sepakan penalti) menjadi satu masalah kepada kita. Ini bermakna kita bertahan dan bermain terlalu lama dalam kotak penalti. Sepakan penalti itu (lawan Uzbekistan) sepatutnya boleh dielakkan.

“Jadi ini antara perkara yang perlu kita perbaiki pada aksi kedua nanti,” kata Garrido.

Sebagai rekod pemain Malaysia B-23 turut bermurah hari menghadiahkan sepakan penalti ketika menentang China dan Qatar pada aksi persahabatan di Doha sebagai persiapan menghadapi Piala Asia.

Esok di Stadium Antarabangsa Khalifa, Doha jam sembilan malam, Malaysia berdepan satu lagi tugasan sukar, menentang Vietnam.

Kesukaran yang bakal dihadapi oleh Malaysia sudah boleh dibayangkan dengan Vietnam kini memiliki motivasi tinggi selepas mengejutkan Kuwait 3-1 pada perlawanan pertama Kumpulan D.

Pemain negara juga diharap lebih bijak dan waspada dalam mengekang kelincahan penyerang Vietnam tanpa perlu memberi alasan kepada pengadil ‘menghadiahkan’ sepakan penalti.

Malaysia kini di tangga tercorot Kumpulan D, manakala Vietnam di kedudukan teratas  mengatasi Uzbekistan hasil perbezaan gol.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini