comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Padang SNBJ rosak, gara-gara konsert Coldplay 

KUALA LUMPUR: Padang Stadium Nasional, Bukit Jalil sekali lagi mengalami kerosakan dan kali ini berlaku selepas konsert Coldplay, Rabu lalu.

Perkara itu menjadi perhatian dalam kalangan peminat bola sepak tempatan selepas pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik gambar keadaan terkini padang Stadium Nasional di laman Instagram miliknya, hari ini.

Berdasarkan gambar yang dikongsikan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ), beberapa bahagian padang berkenaan rosak dan ia dipercayai berlaku selepas konsert Coldplay.

TMJ yang menaja rumput baharu jenis Zeon Zoysia di gelanggang keramat Harimau Malaya itu bagaimanapun hanya berkongsi gambar tanpa sebarang ulasan atau kapsyen.

Tunku Ismail memuat naik gambar beberapa bahagian padang Stadium Nasional yang rosak selepas konsert Coldplay.

Situasi itu pasti amat mendukacitakan terutama selepas padang berkenaan mendapat pujian daripada penyokong bola sepak tanah air ketika aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Kyrgyzstan, 16 November lalu.

Keadaan terkini padang berkenaan juga mencetuskan persoalan mengenai kesediaan gelanggang terbabit bagi penganjuran final Piala Malaysia yang dijadual berlangsung pada 8 Disember ini.

Padang Stadium Nasional sebelum ini pernah dikritik hebat selepas ia yang baru dinaik taraf rosak teruk ketika digunakan pada Pestabola Merdeka 2023, bulan lalu.

Konsert Coldplay yang julung kali diadakan di negara ini mendapat sambutan menggalakkan daripada peminatnya merekodkan jumlah kehadiran mencecah 75,000 orang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Faidz Sanusi ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan pihaknya sedang melakukan persiapan untuk penganjuran final Piala Malaysia, 8 Disember ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini