comscore
Tumpuan :
Sukan

Harimau Malaya hampiri misi 120 terbaik dunia

Pemain Harimau Malaya ceria di  Taiwan Taoyuan International Airport  untuk berlepas pulang ke tanah air selepas berjaya menewaskan Chinese Taipei 1-0 pada aksi kedua Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, malam semalam. – FOTO Facabook FAM

KUALA LUMPUR: Kejayaan memenangi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 berdepan Kyrgyzstan dan Taiwan membolehkan Harimau Malaya meraih 26.15 mata ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekaligus  semakin menghampiri sasaran berada dalam  kedudukan 120  pasukan terbaik dunia mengakhiri musim 2023.

Itu antara congakannya sebelum kedudukan  rasmi ranking terbaharu yang akan dikeluarkan FIFA dalam masa terdekat.

Menerusi semakan di laman sesawang FIFA, ranking terbaik negara adalah 75 yang dilakar pada 1993 sementara kali terakhir Malaysia berada dalam kelompok 120 terbaik dunia, pada 2004 (120).

Seharusnya  perkembangan semasa ini melonjakkan lagi moral dan semangat pemain untuk menghadapi empat baki perlawanan dan merealisasikan impian Ketua Jurulatih Kim Pan Gon  untuk mengumpul 12  dan layak ke pusingan seterusnya.

“Tahniah kepada rakyat Malaysia kerana kita berjaya menang buat kali pertama di Taipei dan harap dapat kekalkan prestasi untuk dapatkan enam lagi mata yang akan memastikan kita akan ke pusingan ketiga,” kata Kim Pan Gon pada sidang media selepas Harimau Malaya menewaskan Taiwan menerusi jaringan minit ke-72 Darren Lok malam semalam.

Cuma, ketika barisan pertahanan berjaya mengekang asakan lawan dan tidak melakukan kesilapan mudah di Taipei, jentera serangan pula tampak tumpul menyudahkan deretan peluang yang terhidang.

Kelemahan itulah yang harus diperbetulkan segera  Pan Gon selain memperkasakanlagi  benteng pertahanan, apatah lagi lawan ketiga selepas ini bukan calang-calang pasukan, Oman, yang mendudukki ranking ke-72 dunia.

Malaysia dijadual berlepas ke Muscat menentang Oman pada 21 Mac 2024 diikuti kunjungan Oman ke Bukit Jalil, lima hari kemudian,

Berikutnya Harimau Malaya akan bertandang ke Kyrgyzstan pada 6 Jun dan mengakhiri kempen kelayakan bertemu Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.

Loading...
Terkini