comscore
Tumpuan :
Sukan

Harimau Malaya sedia bertempur tanpa Davies dan Eldstal

Skuad Harimau Malaya berlepas ke Muscat, Oman pagi tadi . – FOTO: Ihsan FAM

SEPANG: Tanpa tonggak pertahanan Matthew Davies dan Junior Eldstal yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan, skuad Harimau Malaya tetap bersedia untuk berdepan Oman pada Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Muscat, Khamis ini.

Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan Gon mengesahkan pemain dari Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak dapat bersama pasukan selepas mengalami kecederaan semasa perlawanan latihan pada 14 Mac dan perkembangan itu dimaklumkan oleh skuad Harimau Selatan.

Bagi seorang lagi benteng Harimau Malaya Daniel Ting, kehilangan Davies dan Eldstal pasti dirasai kerana mereka antara watak penting barisan pertahanan.

“Memang terasa kehilangan mereka, tetapi rakan-rakan bersedia menghadapi situasi ini dan saya percaya jurulatih sudah membuat perancangan,” kata Ting antara pemain yang menyerlah ketika Harimau Malaya mengejutkan Korea Selatan dengan keputusan 3-3 pada aksi Piala Asia di Doha.

Skuad Harimau Malaya berlepas ke Muscat, Oman pagi tadi . – FOTO: Ihsan FAM

Tambah Ting pasukan dalam keadaan yang baik untuk berdepan Oman yang mendudukki ranking ke-80 dunia meskipun terpaksa meniti perlawanan penting ini ketika di luar musim liga.

“Itulah cabarannya yang mesti kita atas bertemu Oman nanti,” kata Ting

Sementara itu bagi pemain skuad bawah 23 negara, Harith Haiqal Adam Afkar yang dipanggil Pan Gon untuk mengimbangi barisan pertahanan, kesempatan ini akan digunakan sebaik mungkin.

“Selama ini saya bekerja keras dan sudah lima tahun bersama Selangor FC, dan ini kali pertama saya dipanggil ke kem skuad kebangsaan, saya amat berterima kasih dan sudah tentu terlalu gembira,” kata Harith.

Harith juga yakin pengalaman bersama Harimau Malaya akan membantu persiapan mereka menghadapi Piala Asia bawah 23 di Doha bulan depan.

Skuad Harimau Malaya yang dibarisi 24 pemain berlepas ke Muscat pagi tadi.

Selepas aksi di Muscat Khamis ini, Malaysia yang berada di ranking 132 dunia akan menanti Oman di Bukit Jalil pada 26 Mac.

Seterusnya skuad negara akan terbang ke Bishkek menentang  Kyrgyzstan pada 6 Jun dan mengakhiri kempen Kumpulan D bertemu Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.

Harimau Malaya kini di tangga teratas kumpulan dengan enam mata,  Oman dan Kyrgyzstan di tangga kedua dan ketiga masing-masing meraih tiga mata dan Taiwan di tempat terakhir tanpa sebarang mata.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini