comscore
Tumpuan :
Sukan

Harimau Muda memang ‘pakar’ beri penalti

Kapten Harimau Muda,  Mukhairi Ajmal mengakui beraksi hambar sepanjang kempen di Doha. FOTO: Ihsan FAM

PETALING JAYA: Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara menamatkan cabaran kempen Piala Asia B-23 Qatar semalam, tanpa sebarang kemenangan untuk menghuni kedudukan tercorot Kumpulan D.

Pada perlawanan terakhir kumpulan di Stadium Al-Jonoub semalam, Malaysia tewas 1-2 kepada Kuwait, terdahulu skuad bimbingan jurulatih Sepanyol, Juan Torres Garrido itu kalah 0-2  masing-masing kepada Uzbekistan dan Vietnam.

Tanpa gol selepas mengharungi tiga perlawanan, Malaysia sekadar berupaya meledak satu jaringan menerusi penyerang tinggi lampai Haqimi Azim Rosli menentang Kuwait semalam.

Kapten Harimau Muda,  Mukhairi Ajmal mengakui beraksi hambar sepanjang kempen di Doha. FOTO: Ihsan FAM

Keseluruhannya memang mengecewakan enam gol yang dibolosi semuanya berpunca daripada kesilapan barisan pertahanan dan separuh daripada jaringan lawan pula menerusi ‘hadiah’ sepakan penalti.

Malah dua perlawanan persiapan menentang Qatar dan China turut menyaksikan ‘kepakaran’ pemain negara menghadiahkan sepakan penalti kepada lawan.

Memang aneh melihat ‘gelagat’ barisan skuad pelapis kebangsaan ini mengekang asakan lawan.

Menentang Kuwait, skuad negara terpaksa beraksi 10 pemain selepas penjaga gol Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dilayangkan kad merah susulan keputusan ‘pelik’nya menghalang lawan.

“Kami ada peluang untuk menjaringkan gol tetapi situasi tidak dijangka (kad merah Sikh Izhan) menjadikan keadaan bertambah sukar.

“Kami cuba menyesuaikan diri dan pemain berjuang habis-habisan untuk mendapatkan gol penyamaan.

“Pemain menunjukkan apa yang dimahukan tetapi kami tiada tenaga di dalam kawasan lawan,” kata Garrido.

Apapun alasan Garrido kepincangan persiapan skuad kebangsaan boleh dilihat sebelum kejohanan berlangsung.

Sebagaimana yang disimpulkan bekas pemain kebangsaan, Hasnizam Uzir, yang menggariskan tiga penyebab kegagalan skuad B-23.

Ini termasuk saingan liga pembangunan yang kurang kompetitif, jumlah perlawanan liga tempatan yang kurang dan persiapan pasukan yang ala kadar.

“Tak guna bila ramai pemain di ‘grassroots’ tapi hala tuju untuk mereka tiada. Inilah punca kegagalan selama ini kerana liga kita (khusus liga pembangunan) yang kurang kompetitif dan efektif.

Sementara itu ketua pasukan skuad B-23 negara, Mukhairi Ajmal Mahadi mengakui kecewa dengan aksi yang diperagakan olehnya sepanjang kempen di Doha.

“Saya rasa saya bermain dengan teruk pada setiap perlawanan. Lagipun kita masih belum bermula musim (liga), jadi kita tiada ‘match fitness’ yang baik.

“Tetapi orang mengharapkan saya, mereka ingat saya seorang sahaja bermain dalam padang, kerana saya dah lama (bermain), saya kena bertanggungjawab sebagai seorang kapten,” katanya,

Selain Malaysia, turut membawa cabaran Asia Tenggara kali ini ialah Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Vietnam dan Indonesia cemerlang mara suku akhir manakala Thailand senasib dengan Malaysia terkandas di saingan kumpulan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini