comscore
Tumpuan :
Sukan

HOKI: THT, TNB dan Maybank terus pamer aksi bertenaga

Pasukan THT – FOTO: MHC

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

BUKIT JALIL: Aksi sengit terus dipamerkan tiga pasukan tangga teratas Liga Hoki Malaysia (MHL), Kelab Hoki Terengganu (THT), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Maybank ketika saingan semakin memuncak memasuki perlawanan ke 10 semalam.

THT dan Maybank paling unggul semalam selepas masing-masing mencatat kemenangan besar ke atas pihak lawan.

Ini kali pertama THT merakam jaringan sehingga dua digit selepas menundukkan ATM 10-2.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, THT garang mencetak tiga gol pada suku pertama dan kedua, bermula dengan jaringan Yo Seong Ho sebelum Akhimullah Anuar Esook dan Faizal Saari menambah dua lagi gol.

Suku ketiga, Muhd Abid Sufian Mat Ruslee dan Muhd Noor Firdaus Rosdi menjadikan kedudukan 5-0 sebelum Jang Jong Hyun meledak gol sudut penalti untuk gol keenam THT.

Akhimullah kemudiannya mencetak gol kedua peribadi sebelum Marhan Jalil mengikut jejak sama menerusi dua gol yang dijarinhkan pada suku keempat.

Shello Silverius melengkapkan pesta THT untuk kedudukan 10-2, mengekalkan cengkaman pasukan di kedudukan teratas dengan 28 mata.

TNB pula terus mengekori rapat selepas turut mengutip tiga mata hasil kemenangan 2-1 ke atas UITM.

Dua gol Azrai Aizad Abu Kamal pada suku pertama dan suku keempat jelas melegakan TNB yang turut mengintai kejuaraan selepas hanya dibezakan dengan 3 mata berbanding THT.

Tidak ketinggalan, Maybank di tangga ketiga liga dengan 23 mata selepas kemenangan 9-0 ke atas Nurinsafi Sporting semalam.

Faridzul Afiq Mohammad mempamer ketajamannya apabila merakam hatrik selepas menjaringkan gol padang pada suku pertama, ketiga dan keempat.

Aksi MHL bersambung lagi esok dengan perlawanan antara Maybank dan THT di Padang 2 Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil akan menjadi tumpuan.

Loading...
Terkini