comscore
Tumpuan :
Nasional

Young Tigers akhiri cabaran di tangga ke-12

Adam Ashraf meraikan jaringan gol pertama Malaysia di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil – Foto: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Skuad hoki remaja negara mengakhiri  kempen Piala Dunia Remaja di kedudukan ke-12 apabila tewas kepada New Zealand menerusi penalti shoot-out 3-4 selepas kedua-dua pasukan seri 2-2 pada masa sebenar penentuan tempat ke-11/12,  di Stadium Hoki Nasional  Bukit Jalil hari ini.

Skuad negara  ketinggalan seawal minit ke-4 selepas New Zealand dihadiahkan pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Luke Aldred.

Bagaimanapun skuad bimbingan Muhammad Amin Rahim itu pantas bertindak balas,  kelebihan dimiliki New Zealand itu tidak bertahan lama apabila Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari menyamakan kedudukan empat minit kemudian.

Namun sekali lagi skuad negara ketinggalan tiga minit kemudian selepas Sam Lints menjaringkan gol padang untuk New Zealand minit ke-9.

Suku kedua menyaksikan Malaysia berusaha untuk mendapatkan gol penyamaan, namun beberapa cubaan skuad negara gagal menghasilkan gol.

Bersambung separuh masa kedua, aksi kedua-dua pasukan lebih seimbang tetapi New Zealand dilihat lebih bertahan pada suku keempat dalam usaha mempertahankan kelebihan satu gol.

Berbaki lima minit terakhir perlawanan, skuad negara terus memberi tekanan,  usaha mereka membuahkan hasil selepas Mohamad Shamir Rizmi Shamsul menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-57 .

Kedudukan 2-2 kekal sehingga perlawanan masa sebenar tamat dan  pemenang ditentukan menerusi  penalti shoot-out.

Nasib malang Malaysia ketika tewas kepada Belgium pada penentuan tempat ke-9/12 juga menerusi penentuan shoot-out nampaknya berulang.

New Zealand mengesahkan kemenangan 4-3 untuk pulang selaku pasukan ke-11 terbaik untuk Piala Dunia Remaja 2023.

Loading...
Terkini