comscore
Tumpuan :
Sukan

Indonesia, Australia bincang bida Piala Dunia 2034 bersama Malaysia, Singapura

JAKARTA: Indonesia sedang berbincang dengan Australia berkenaan kemungkinan membida sebagai tuan rumah bersama Piala Dunia 2034 bersama Malaysia dan Singapura.

Badan induk bola sepak dunia, FIFA menjemput ahli-ahli dari Asia dan Oceania untuk membida Edisi 2034 itu minggu lalu.

“Kami sedang berbincang dengan Australia. Ketika melawat Malaysia dan Singapura, kedua-dua negara berminat menyertai Indonesia dan Australia,” kata Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir.

Badan induk bola sepak Australia juga sedang mengkaji kemungkinan untuk membida Piala Dunia Kelab 2029 atau/dan Piala Dunia FIFA 2034.

Selepas mengumumkan Sepanyol, Maghribi dan Portugal sebagai tuan rumah bersama Piala Dunia 2030, dengan Uruguay, Paraguay dan Argentina menganjurkan perlawanan-perlawanan pembukaan, FIFA menjemput Asia dan Oceania untuk membida edisi 2034.

Arab Saudi menyatakan hasrat mereka untuk menjadi tuan rumah edisi berkenaan dan sudah menghantar surat kepada FIFA sebelum tarikh tutup 31 Oktober ini.

Bagaimanapun Thohir melihat, selepas Qatar menjadi tuan rumah edisi lalu, peluang untuk Piala Dunia kembali ke Timur Tengah dalam masa terdekat agak tipis.

“Peluang kami cerah. Saya rasa FIFA akan melihat yang Timur Tengah sudah menjadi tuan rumah menerusi Qatar tahun lalu.

“Jepun dan Korea juga pernah menjadi tuan rumah. Saya pasti FIFA akan cuba mendapatkan negara lain.

“Kita berpotensi menang jika bergabung dengan Australia, Malaysia dan Singapura,” katanya.

Piala Dunia 2026, yang akan menampilkan 48 pasukan, bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Loading...
Terkini