comscore
Tumpuan :
Sukan

Jawatankuasa Siasatan putuskan Hanis bersalah, perlu digantung 

Tonggak utama skuad hoki wanita negara, Hanis digantung daripada pasukan kebangsaan

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Negara yang bermesyuarat bersama Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Selasa lalu membuat keputusan pemain hoki wanita negara, Hanis Nadiah Onn perlu digantung daripada mewakili pasukan kebangsaan dalam semua tugasan antarabangsa termasuk Sukan SEA Kemboja tahun ini.

Tindakan tersebut diputuskan selepas Hanis didapati membuat hantaran berbaur perkauman di laman sesawang berhubung sebuah konsert di Kuala Lumpur pada 28 Januari lalu.

Hasil daripada siasatan dan penjelasan yang membabitkan Hanis dan jurulatih pasukan kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim, pihak jawatankuasa dan KHM merumuskan pemain berkenaan didapati bersalah atas ciapan dilakukannya itu.

“Hasil daripada sesi temubual dan selepas memperhalusi beberapa dapatan lain berhubung isu berkenaan, Jawatankuasa Siasatan merumuskan bahawa Hanis memuatnaik ciapan komen yang berbaur perkauman kerana komen itu ditujukan kepada konsert dihadiri majoriti kaum India.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa mendapati Hanis bersalah sebagai individu kerana membuat kenyataan atau komen secara terbuka di akaun media sosial miliknya yang menjurus kepada menghina, mengutuk atau mencaci sesuatu pihak lain.

“Hanis juga didapati bersalah kerana ciapan komen yang boleh disalah erti atau menimbulkan salah faham, kegusaran ataupun kemarahan sesuatu pihak lain.

“Sebagai pemain hoki negara, Hanis didapati bersalah kerana membuat komen yang mengakibatkan kerosakan kepada imej pasukan dan KHM yang jelas melanggar kod etika KHM.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Siasatan memutuskan untuk KHM tidak mempertimbangkan Hanis dari mewakili pasukan hoki kebangsaan ke mana-mana tugasan antarabangsa termasuk temasya Sukan SEA Kemboja 2023.

“Pihak KHM akan menilai semula keputusan ini sekiranya Hanis mempamerkan perubahan sikap yang positif sepanjang tempoh berkenaan.

“Jawatankuasa berharap tindakan itu akan menjadi ingatan dan pengajaran berguna kepada Hanis serta semua atlet negara untuk sentiasa berhati-hati dengan sebaranghantaran ataupun ciapan di semua platform media sosial,” kata satu kenyataan dikeluarkan Kementerian Belia dan Sukan, hari ini.

Hanis mengakui memuatnaik ciapan komen ‘bau best la kat dalam tu’ berserta emoji tertawa sehingga mengeluarkan air mata kepada gambar dan video keadaan konsert yang dimuatnaik oleh Kosmo Online.

Ciapan itu dibuat menyusuli komen netizen lain pada muatnaik berkenaan.

Hanis menegaskan tidak mempunyai sebarang sentimen perkauman ketika memuatnaik ciapan yang sekadar jenaka dan merujuk kepada keadaan stadium dipenuhi puluhan ribu penonton.

Ekoran daripada teguran itu, Hanis memadam komen berkenaan pada 29 Januari 2023 dan membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi laman media sosialnya ekoran kekhilafan itu.

Hanis mengakui amat kesal dengan keterlanjuran ciapannya dan menegaskan bahawa dirinya bukan seorang yang ‘racist’ dan membesar dalam masyarakat majmuk di Kluang, Johor serta memiliki ramai rakan berbangsa India, terutamanya sebagai atlet negara. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini