comscore
Tumpuan :
Sukan

‘Kami tunggu sahaja jawapan daripada beliau’ – ABM

KUALA LUMPUR: Surat tawaran kepada legenda badminton negara, Datuk Misbun Sidek sudah dihantar Persatuan Badminton Malaysia (BAM) semalam.

Ini sekali gus menunjukkan badan induk itu ‘mengotakan janjinya’ menawarkan semula jawatan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja hingga penghujung tahun ini.

Artikel berkaitan: Datuk Misbun tunggu surat rasmi sebelum pertimbang kembali ke BAM

Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai mengesahkan pihaknya menghantar surat tawaran berkenaan menerusi surat, e-mel dan aplikasi WhatsApp.

Justeru itu katanya, ABM kini dalam status menunggu jawapan balas daripada Misbun sama ada mahu menerima atau menolak tawaran berkenaan.

“Saya juga ada bercakap dengan Datuk Misbun berkaitan tawaran itu sebelum beliau meminta Nor Kamal Ahmad (pengurus peribadi Misbun) mengambil surat di BAM. Beliau tak ada cakap lebih lanjut mengenai tawaran itu.

“Cuma sekarang kami tunggu sahaja jawapan daripada beliau. Tiada tempoh masa untuk beliau membalas namun kalau boleh secepat mungkin,” kata Michelle hari ini.

Semalam, Misbun menerima permohonan maaf Presiden BAM, Tan Sri Mohammad Norza Zakaria berhubung kemelut yang melanda susulan penamatan kontraknya oleh badan induk itu selaku pengarah kejurulatihan perseorangan remaja, minggu lalu.

Pengurus peribadi Misbun, Nor Kamal dilaporkan berkata, jurulatih berusia 63 tahun itu mengakui lega selepas mendengar permohonan maaf secara terbuka Norza pada satu sidang media kelmarin sambil mengakui beliau sememangnya mempunyai hubungan istimewa dengan individu nombor satu BAM itu.

Sebelum itu, Misbun pada sidang media khas menyatakan rasa terkilannya dengan tindakan Norza yang seolah-olah ‘lepas tangan’ selepas jawatankuasa khas dipengerusikan Timbalan Presiden BAM, Datuk V Subramaniam memutuskan menamatkan kontraknya lebih awal.

Loading...
Terkini