comscore
Tumpuan :
Sukan

Kes saman fitnah Kenny Goh terhadap Roslin Hashim, selesai

Datuk Kenny Goh (kiri) dan Roslin Hashim.

KUALA LUMPUR: Kes saman fitnah dikemukakan Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh terhadap bekas pemain badminton nombor satu dunia, Roslin Hashim diselesaikan secara baik.

Selaku defendan, Roslin mengemukakan permohonan maaf secara terbuka di hadapan Hakim, Roz Mawar Rozain di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Roslin mengakui kesal membuat kenyataan fitnah ke atas plaintif, Kenny di laman media sosial miliknya pada Januari tahun lalu.

Dalam pernyataan permohonaan maafnya, Roslin, berkata: “Saya, Roslin Hashim dengan ikhlas hati memohon maaf secara terbuka dan tanpa syarat kepada Datuk Kenny kerana telah membuat kenyataan fitnah dan menyinggung terhadap Datuk Kenny semasa strim langsung atau ‘Facebook Live’ di akaun Facebook saya, Abe Lin pada tarikh 19.01.2022.

“Saya berasa kesal atas kenyataan saya yang menimbulkan pelbagai masalah dan kesulitan kepada Datuk Kenny. Saya sedar yang kenyataan saya telah mencalarkan reputasi dan nama baiknya terutamanya kepada peminat-peminat sukan badminton di Malaysia.

“Saya juga sedar bahawa saya telah mengaibkan Datuk Kenny melalui kata-kata kesat yang tidak berasas dan tidak patut dinyatakan sama sekali.

“Saya sekali lagi memohon maaf kepada Datuk Kenny dan berharap agar permohonan maaf ini dapat membersihkan nama baik Datuk Kenny serta dapat memulihkan hubungan profesional dan hubungan peribadi di antara saya dan Datuk Kenny,” katanya.

Sementara itu, Kenny ketika ditemui di luar mahkamah berkata, beliau menerima permohonan maaf yang dikemukakan Roslin itu.

Beliau berkata kes berkenaan tidak sesekali menjejaskan kedudukan Roslin sebagai Panel Penasihat Teknikal Akademi Badminton Malaysia (ABM).

“Pelantikan Roslin dalam panel penasihat teknikal dibuat oleh Ahli Majlis BAM. Ia tiada kaitan dengan kes ini.

“Saya menerima permohonan maaf daripada Roslin dan bersetuju dengan Roslin yang kita semua perlu bergerak ke hadapan. Saya sudah mengenali Roslin lama,” kata Kenny.

Loading...
Terkini