comscore
Tumpuan :
Sukan

Kasma Harap ‘Mood’ Pengantin Baharu

Azroy (kiri), Kasma (tengah) dan Khairul mewakili pasukan Petronas Mie Racing menerusi tiket wild card di Grand Prix (GP) Malaysia, minggu ini.

SEPANG: Pelumba negara, Kasma Daniel Kasmayudin sudah mula merasai bahang perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang bermula esok.

Kasma, 22, diberikan tiket wildcard untuk beraksi dalam kelas Moto2 bersama pasukan PETRONAS Mie Racing.

Dia yang pernah beraksi di musim penuh pada 2020 bersama pasukan Onexox TKKR SAG mengakui tidak dapat mengelak daripada merasai tekanan beraksi di halaman sendiri di hadapan puluhan ribu peminat yang akan hadir menyaksikan perlumbaan berprestij itu.

“Bagi saya ia adalah satu cabaran untuk berlumba di depan penyokong sendiri. Ini adalah peluang terbaik kepada saya membuktikan kemampuan kepada peminat.

“Sebab semasa saya beraksi di musim penuh pada 2020, saya tak berpeluang berlumba di Sepang kerana pada masa itu pusingan perlumbaan di Asia terpaksa dibatalkan kerana pandemik COVID-19.

“Saya akan berusaha mendapatkan keputusan yang baik dan cuba menghabiskan perlumbaan dengan kegembiraan pada minggu ini,” katanya.

Bagaimanapun, Kasma mempunyai azimat tersendiri bagi mengharungi cabaran di Sepang minggu ini apabila menganggap fasa baharu dalam hidupnya selepas mendirikan perkahwinan, minggu lalu sedikit sebanyak memberikan tonik tambahan kepada dirinya.

Pelumba itu bernikah dengan pasangannya, Che Ku Nur Ayuni Afiqah Che Ku Jonaidi, minggu lalu.

“Boleh katakan ia memberi ‘mood’ yang baik kepada saya untuk berlumba terutama apabila isteri dan keluarga juga datang untuk memberikan sokongan.

“Kalendar perlumbaan saya akan berakhir pada Disember, jadi biar saya habiskan dahulu semua perlumbaan dan kemudian baru fokus kepada majlis sebelah lelaki di Johor pada Januari,” katanya.

Selain Kasma, seorang lagi pelumba negara yang akan beraksi menerusi tiket wild card di kelas Moto2 dengan pasukan sama adalah Azroy Hakeem Anuar manakala pelumba berpengalaman negara, Khairul Idham Pawi berada dalam senarai simpanan.

Syarifuddin Azman atau Damok pula akan beraksi dalam kelas Moto3 bersama pasukan VisionTrack Racing, juga menerusi tiket wildcard. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini