comscore
Tumpuan :
Sukan

Kazakhstan juara keseluruhan Karate Asia ke-19

Foto ihsan Persekutuan Karate Dunia, WKF.

AYER KEROH: Kazakhstan muncul juara keseluruhan Kejohanan Karate Asia ke-19 yang berakhir di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini apabila mengumpul tiga pingat emas dan masing-masing empat pingat untuk perak dan gangsa.

Kehebatan atlet karate negara terbabit gagal ditandingi lawan termasuk juara tahun lalu, Jepun yang mendominasi edisi ke-18, dengan Kazakhstan menduduki tangga ketiga.

Edisi kali ini, Jepun muncul naib juara keseluruhan dengan tiga emas, tiga perak dan dua gangsa, jauh daripada prestasi mereka di Uzbekistan (tahun 2022) apabila meraih lapan emas, dua perak dan tiga gangsa.

Iran pula menduduki tangga ketiga selepas memperoleh tiga emas, dua perak dan tujuh gangsa diikuti Jordan di tempat keempat (dua emas, satu perak, tiga gangsa) dan Hong Kong di tempat kelima (dua emas, satu gangsa).

Sementara itu, Iran muncul juara keseluruhan Kejohanan Karate Para Asia ke-2 yang berlangsung serentak, selepas meraih empat emas diikuti Kazakhstan naib juara dengan dua emas dan dua perak.

Arab Saudi di tempat ketiga selepas meraih satu emas, dua perak dan lima gangsa.

Skuad karate negara menduduki tangga ke-13 daripada 32 negara dan 388 atlet dengan meraih tiga gangsa selepas trio berpasukan Kata wanita menceriakan kem negara menerusi gangsa ketiga dengan menewaskan Hong Kong pada hari terakhir kejohanan.

Sebelum ini, dua gangsa yang diperolehi skuad negara pada hari pertama kejohanan menerusi S Prem Kumar bagi acara Kumite lelaki 55kg dan Zakiah Adnan dalam Kumite wanita bawah 61kg.

Pencapaian tiga gangsa itu memperbaiki kedudukan skuad karate negara di kejohanan yang sama tahun lalu apabila meraih dua gangsa namun masih menduduki kedudukan yang sama iaitu tangga ke-13.

Majlis penutup disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang juga Penaung Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Karate Dunia (WKF).

Loading...
Terkini