comscore
Tumpuan :
Sukan

KBS teliti usaha tambah baik Program Pembangunan Bola Sepak Negara

KUALA LUMPUR: Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) antara inisiatif penting untuk memastikan arena bola sepak kebangsaan tidak ketandusan pemain berbakat seterusnya menjadi pemain pelapis.

Ke arah itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang meneliti langkah menambah baik NFDP.

Menterinya Hannah Yeoh berkata, KBS kini mengumpul pandangan daripada kelab bola sepak tempatan dan akan mengadakan sesi libat urus untuk memantapkan lagi pembangunan di peringkat akar umbi menerusi program itu.

“Saya mahu melihat perkembangan bola sepak di peringkat akar umbi. Disebabkan itu saya sedang menerima maklum balas untuk menambah baik NFDP bagi memastikan rantaian bekalan bakat usia muda sampai ke peringkat kelab dan seterusnya Harimau Malaya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program ‘Reading Bus’ anjuran Pejabat Ahli Parlimen Segambut di sini, hari ini.

Program ‘Reading Bus’ yang bermula sejak 19 Ogos lepas menyasarkan murid sekolah rendah yang tidak lancar membaca dan bertutur dalam Bahasa Inggeris.

FOTO: NSTP

Selain NFDP, Hannah berkata KBS juga sedang meneliti untuk memperkasa program pembangunan akar umbi bagi sukan lain antaranya hoki, ragbi dan bola jaring.

Beliau berkata penambahbaikan program sedia ada penting dalam memastikan segala perbelanjaan dikeluarkan KBS digunakan secara optimum dalam melahirkan bakat baharu sukan negara.

“Jika ada kelemahan, saya mahu baikinya. Saya tidak mahu program sedia ada menjadi status quo tanpa ada sebarang penambahbaikan,” katanya.

Loading...
Terkini