comscore
Tumpuan :
Sukan

Keunikan acara perasmian Sukan Asia Hangzhou pukau dunia

HANGZHOU: China sekali lagi membuktikan kehebatan mereka dalam acara pembukaan temasya besar sukan antarabangsa, kali ini menyajikan persembahan yang cukup memukau dalam acara perasmian Sukan Asia Ke-19 dengan pertunjukan kebudayaan dan cahaya yang unik di Stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou malam ini.

Pada acara pembukaan, persembahan bunga api tradisional digantikan dengan persembahan bunga api digital, dengan animasi dan peralatan tiga dimensi seiring ikrar Sukan Asia Hangzhou 2022 untuk menjadi Sukan Asia pertama yang neutral karbon dan menggunakan tenaga hijau.

Sukan Asia Hangzhou 2022 yang dirasmikan Presiden China, Xi Jinping setahun selepas ditangguhkan akibat pandemik COVID-19, juga mencatat sejarah sebagai Sukan Asia dengan penyertaan terbesar iaitu 11,831 atlet dari 45 negara.

Ia melebihi 11,000 atlet yang bertanding di Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan kira-kira 10,500 atlet untuk Sukan Olimpik Paris 2024.

Perbarisan 45 negara yang bertanding dalam temasya sukan benua itu bermula selepas bendera negara tuan rumah dibawa masuk dan lagu kebangsaan Negara Tembok Besar itu berkumandang, dengan kontinjen Afghanistan yang pertama masuk ke dalam stadium menurut turutan abjad.

Malaysia muncul negara ke-22 yang berarak masuk dengan dua atlet iaitu atlet berbasikal, Muhammad Shah Firdaus Shahrom dan atlet skuasy, S. Sivasangari sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Perarakan kontinjen negara membabitkan 28 atlet dan 22 pegawai diketuai Ketua Kontinjen, Datuk Dr Chong Kim Fatt serta dua timbalannya, Datuk Mohamad Iruan Zulkefli dan Prof Madya Dr Farrah Hani Imran.

Mereka tampak bergaya dengan atlet lelaki mengenakan blazer berwarna biru gelap, seluar khaki dan tali leher merah, ketika memasuki stadium yang boleh memuatkan 80,000 orang dan diberi nama julukan Teratai Besar.

Cabaran Sukan Asia kali ini, Malaysia diwakili 288 atlet (188 lelaki dan 100 wanita) akan menyertai 22 daripada 40 sukan, dengan sasaran 27 pingat.

Persembahan gala disajikan menerusi tiga babak di mana babak pertama ialah ‘Timeless Grace’ yang mengandungi tiga bahagian iaitu ‘The Charm of Ink Wash’, ‘Jiangnan Through The Mist and Rain’ serta ‘Shining Through the Ages’.

Babak kedua menampilkan ‘Tidal Bore Of The Qiantangjiang Rivers’ dengan tiga bahagian juga iaitu ‘Riding The Waves’, ‘Rising To The Top’ dan ‘Surging To The Future.

Manakala babak terakhir bertemakan ‘Together Towards The Future’ dengan bahagian ‘Shanshui’, ‘A Community That Knows No Boundaries’ serta ‘We Are Family

Sejurus selepas Presiden Xi Jinping mengumumkan perasmian temasya, bendera Majlis Olimpik Asia (OCA) dibawa masuk diikuti bacaan ikrar oleh atlet dan pengadil di hadapan tetamu kenamaan, termasuk Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach dan Pemangku Presiden OCA, Raja Randhir Singh.

Paling unik, penyalaan kawah api temasya menggunakan pembawa obor digital, terdiri daripada ratusan juta peserta yang lari berganti-ganti secara dalam talian.

Api yang menyalakan kawah Sukan Asia Hangzhou diinspirasikan oleh ombak besar Sungai Qiantang.

Sukan Asia kali ini menyaksikan sejumlah 481 acara daripada 40 sukan di pertandingkan di 54 venue,  yang kebanyakannya berlangsung di Hangzhou dan lima lagi bandar raya Ningbo, Wenzhou, Huzhou, Shaoxing dan Jinhua yang menjadi tuan rumah bersama.

 

Loading...
Terkini