comscore
Tumpuan :
Sukan

KOAM dijangka putus tiket wild card Azeem- Shereen, Selasa ini

Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy

KUALA LUMPUR: Perebutan tiket wild card antara dua pecut negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Shereen Samson Vallabouy ke Sukan Olimpik Paris 2024 dijangka diputuskan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) pada Selasa depan.

Presiden KOM Datuk Seri Shahidan Kassim berkata ia selepas badan induk sukan itu masih perlu membuat penilaian lebih mendalam berhubung perkara tersebut dan ia dijangka hanya akan diketahui pada 2 Julai ini.

“Kedua-duanya layak daripada segi laporan kesihatan tapi kita kena ingat ini ialah wild card di mana kita hanya nak pilih seorang.

“Saya sedang membuat penelitian terbaik. Oleh kerana ia telah dibincangkan secara terbuka biarlah ia pilihan yang tepat. Sudah pasti penilaian daripada pihak lain adalah berbeza dan dalam kalangan kita (KOM) pun memberi pandangan tapi kita nak tengok kepada aspek lain termasuk laporan teknikal harus diperhatikan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Shahidan berkata pihaknya dalam masa sama sedar akan kemahuan orang ramai yang lebih menjurus kepada seseorang atlet itu untuk ke Paris namun katanya ia bukan penilaian utama dititikberatkan.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pemilihan dijangka akan mengadakan lagi mesyuarat bagi menentukan atlet mana yang akan menggalas cabaran negara ke sana.

Dalam pada itu, Pengarah Teknikal Kejurulatihan KOM Robert J Ballard senada dengan keputusan badan induk sukan itu yang menuntut keputusan antara Azeem atau Shereen dilakukan secara berhati-hati.

“Kita akan menunggu sehingga saat akhir untuk memutuskan pilihan berdasarkan semua maklumat seperti laporan teknikal, Majlis Sukan Negara (MSN), analisis prestasi, ranking Olimpik dan ini semua memerlukan masa,”katanya.

Sebagai rekod, hanya seorang daripada dua atlet yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu akan membuat penampilan sulung di Olimpik di Paris 2024 menerusi tiket wild card yang ditawarkan kepada badan induk itu.

Azeem dan Shereen yang kedua-duanya adalah pemegang rekod kebangsaan bagi acara 100m (10.09s) dan 400m (51.79s) gagal untuk melayakkan diri secara merit ke temasya di Paris baik menerusi had kelayakan masa mahupun kedudukan ranking kelayakan.

Sukan Olimpik Paris dijadual berlangsung dari 26 Julai sehingga 11 Ogos.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini