comscore
Tumpuan :
Sukan

KPM Perkasa Semula Sukan Sepak Takraw di Peringkat Sekolah

Foto: Dr. Radzi Jidin

Oleh Mieza Shafieza Mohd Fuad

PUTRAJAYA : Sebagai usaha memperkasakan semula sukan sepak takraw di peringkat sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw tahun 2022 hari ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, program anjuran Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) itu bertujuan mengenalpasti bakat murid berumur bawah 12 tahun yang berpotensi untuk diketengahkan seterusnya ditempatkan di pusat kecemerlangan sukan KPM iaitu Pusat Latihan Daerah (PLD), Sekolah Sukan Negeri (SSN), dan Sekolah Sukan Malaysia (SSM).

“Bercakap tentang keciciran murid, ia berkait rapat dengan persekitaran yang didedahkan di sekolah. Peluang seperti penglibatan dalam bidang sukan bakal meningkatkan keterujaan murid-murid untuk ke sekolah sekaligus menurunkan peratus keciciran,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw KPM tahun 2022 di sini.

Ujarnya, semua sedia maklum tentang kepelbagaian bakat dan kemahiran murid-murid. Justeru, program sukan seperti ini secara tidak langsung dapat mengoptimumkan potensi yang ada pada diri setiap murid selain meningkatkan jati diri dan keyakinan mereka.

Fasa pertama program yang bermula hari ini sehingga 13 November itu melibatkan 150 buah sekolah rendah di seluruh negara.

Seramai 10 orang mentor merupakan jurulatih sepak takraw dari sekolah sukan akan bergerak dari sekolah ke sekolah mencari bakat kira-kira 1,200 orang murid dalam sukan berkenaan.

“Kita akan lihat pertama sekali bakat mereka. Ia akan berpandukan modul ujian kemahiran sukan sepak takraw yang terdiri daripada ujian antropometrik, ujian kecergasan, ujian kemahiran asas dan ujian kemahiran spesifik,” katanya.

Usaha tersebut selari dengan Dasar 1Murid 1Sukan (1M1S) dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual di samping dapat memupuk semangat perpaduan serta integrasi nasional dalam kalangan murid melalui pelaksanaan program Sekolahku Sejahtera.

Loading...
Terkini