comscore
Tumpuan :
Sukan

KUFC sudah boleh senyum

Kelantan United (jersi putih) dalam aksi menentang Kelantan FC pada perlawanan terakhir Liga Super 2023 16 Disember lalu. – Foto: NSTP

KOTA BHARU: Pegawai, kejurulatihan dan barisan pemain Kelantan United FC, KUFC umpama mendapat hadiah berharga sempena kehadiran tahun baharu apabila pihak pengurusan kelab itu mengumumkan akan menyelesaikan isu tunggakan gaji sejak Ogos lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif KUFC Wan Zul Ikmal Wan Abdul Aziz berkata pihaknya sebelum ini mengeluarkan satu memo berhubung jadual pembayaran gaji dan dipersetujui oleh semua yang terlibat.

“Kami (KUFC) sentiasa komited melangsaikan segala hutang tunggakan apabila memulakan proses bayaran bermula pertengahan Disember 2023 iaitu separuh gaji Ogos sebelum perlawanan terakhir Liga Super.

“Sehari selepas perlawanan itu, kelab melakukan pembayaran gaji untuk September kepada semua pegawai, jurulatih dan pemain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wan Zul Ikmal, menerusi persetujuan penjadualan, pembayaran bagi baki Ogos adalah pada 31 Dis 2023.

“Bagaimanapun, disebabkan beberapa masalah teknikal tidak dapat dielakkan, pihak pengurusan kelab mengambil tindakan menghubungi pemain dan pegawai untuk menjelaskan keadaan tersebut, katanya

Tambahnya,  mana-mana pemain atau pegawai yang belum mendapat baki gaji Ogos, pihaknya akan menyelesaikan pembayaran itu pada 3 Jan ini..

“Tiga bulan baki tunggakan gaji bagi Oktober, November dan Disember pula akan diselesaikan pada 15 Jan dan 31 Jan 2024 untuk bayaran semua tunggakan gaji musim 2023.

“Penjadualan pembayaran tunggakan gaji ini turut dimaklumkan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL),” katanya

Pada saingan Liga Super 2023 KUFC menamatkan cabaran di tangga ke-12, mengatasi dua pasukan Kuching City dan kelab senegeri Kelantan FC.

Daripada 26 perlawanan, KUFC yang dilatih  Ailton Dos Santos Silva dari Brazil, menang empat perlawanan, seri lima dan tewas 17 kali mengumpul 17 mata.

Loading...
Terkini