comscore
Tumpuan :
Sukan

Terengganu FC II Benam Selangor FC 2, 2-0

Foto: Selangor FC

KUALA LUMPUR: Terengganu FC II berjaya mencatatkan kemenangan kesembilan dalam saingan Liga Premier selepas menundukkan  Selangor FC 2, 2-0, di Stadium UiTM, di sini, malam ini.

Skuad kendalian Badrul Afzan Razali itu membuka jaringan pertama seawal minit ketujuh menerusi rembatan kencang Muhammad Izzan Syahmi Mustapa.

Mohammad Rahmat Makasuf kemudian mengukuhkan kedudukan apabila menjaringkan gol kedua Terengganu FC II pada minit ke-50.

Selangor FC 2 mensia-siakan beberapa peluang pada separuh masa kedua apabila serang barisan penyerang tidak menepati sasaran dan gagal membolosi gawang Terengganu FC II. 

Foto: Selangor FC

Sementara itu, Kelantan United (KUFC) memperoleh kemenangan bergaya apabila membenam UiTM FC 3-1 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bahru.

Skuad, yang diberi jolokan Kijang Hijau itu, memperolehi gol pertama seawal minit ke-15 perlawanan menerusi pemain import, Njoku Jacob selepas menerima hantaran jauh dari rakan sepasukan ke dalam kotak penalti dan dengan mudah menolak bola ke gawang pasukan UiTM FC.

Bersambung babak kedua, pasukan kendalian Syamsul Saad tersebut menambah jaringan menerusi Muhammad Haziq Mohd Subri pada minit ke-50 yang menyambar hantaran lintang Mohammad Amirul Shafik Che Soh dalam kotak penalti UiTM.

Bagaimanapun, pemain gantian Muhammad Izman Solehin berjaya menghadiah gol pertama UiTM pada minit ke- 70 melalui percubaan luar kotak penalti menawaskan penjaga gol KUFC, Mohammad Fikri Che Soh.

KUFC terus menambah duka skuad kendalian Frank Bernhardt dengan jaringan ketiga hasil penyudah Muhammad Asraff Aliffuddin pada minit kecederaan dan keputusan 3-1 kekal hingga wisel penamat.

KUFC memperolehi kemenangan pertama hari ini selepas lapan perlawanan sebelum tanpa kemenangan sejak April lalu. — BERNAMA

Loading...
Terkini