comscore
Tumpuan :
Sukan

Lebih 7 jam belayar solo, ‘Mat X’ akhirnya tiba ke Langkawi

Oleh: Amira Suraini Che Mohamad

LANGKAWI: Tujuh jam 21 minit mengharungi ombak dan badai sepanjang pelayaran ke Langkawi dari Kuala Perlis, akhirnya pelayar muda 12 tahun selamat tiba ke Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, disini.

Muhammad Zahir Naiman Ismail atau dikenali dengan panggilan Mat X, tiba pada 3.52 petang tadi dengan disambut kira-kira 100 orang terdiri dari rakan sekolahnya, komuniti setempat dan seluruh keluarga Persatuan Perahu Layar Kedah.

Kejayaan anak Langkawi itu sekaligus mencatatkan sejarah dalam Malaysia Book of Records.

Bercakap kepada Buletin TV3, ibunya, Nazila Rahim, berkata cuaca yang baik sepanjang pelayaran membantu anaknya tiba 40 minit lebih awal.

“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan ALLAH. Malah cuaca mendung dan tidak panas dari Kuala Perlis sehinggalah tiba ke Langkawi.

“Keadaan angin juga membantu dia tiba lebih awal dari jangkaan kami, alhamdulillah,” katanya.

Zahir atau Mat X yang akan memasuki tahun 6 pada penggal baharu persekolahan pada Mac ini, memulakan pelayaran solo pertamanya pada 8.30 pagi tadi dari Jeti Kastam Diraja Malaysia Kuala Perlis.

Bagi memastikan keselamatan, sepanjang pelayaran itu dia didampingi Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Langkawi serta beberapa buah bot dari Persatuan Perahu Layar Kedah.

Loading...
Terkini