comscore
Tumpuan :
Sukan

Liverpool terlalu bagus buat Saint-Gilloise

Penyerang Liverpool, Diogo Jota (tengah) menyepak masuk gol kedua mengatasi penjaga gol Union Saint-Gilloise, Anthony Moris pada aksi Liga Europa di Anfield, Liverpool awal pagi tadi. – Foto REUTERS

LIVERPOOL: Liverpool semakin menghampiri pusingan kalah mati Liga Europa apabila menang 2-0 ke atas Union Saint-Gilloise awal pagi tadi.

Jurgen Klopp menyenaraikan pasukan kuat di Anfield dengan The Reds berhasrat untuk mengungguli Kumpulan E dan layak ke pusingan 16 terakhir.

Penjaga gol Saint-Gilloise, Anthony Moris cemerlang apabila menafikan Mohamed Salah pada awal aksi, namun kesilapannya susulan percubaan Trent Alexander-Arnold membolehkan Ryan Gravenberch menampan masuk bagi gol pertamanya bersama Liverpool pada masa kecederaan babak pertama.

Klopp membawa masuk Alexis Mac Allister selepas rehat dan pemain itu bertembung dengan abangnya Kevin, yang bermula dalam kesebelasan utama buat kelab Belgium itu.

“Hari ini bapa saya ada di sini tetapi saya pasti setiap orang dalam keluarga kami menonton TV, jadi ia terlalu istimewa,” kata Mac Allister. “Saya rasa beliau (bapanya) menangis hari ini.”

Liverpool terpaksa menunggu masa kecederaan untuk memastikan tiga mata apabila Diogo Jota meluru untuk menghasilkan penyudah mengagumkan.

The Reds akan berkunjung ke Brighton bagi aksi Liga Perdana Inggeris Ahad ini dan The Seagulls mungkin turut keletihan selepas bekerja keras sebelum meraih satu mata mereka di Eropah pada perlawanan menarik ketika seri 2-2 di selatan Perancis.

Marseille yang bergelut musim ini, mendahului 2-0 menerusi dua gol dalam tempoh dua minit pada pertengahan babak pertama.

Chancel Mbemba membantu kelab Perancis itu mendahului sebelum kesilapan kapten Brighton, Lewis Dunk membolehkan Jordan Veretout menjadikan kedudukan 2-0.

Penyerang Brighton, Joao Pedro meledak gol penyamaan menerusi sepakan penalti ketika berdepan Marseille pada aksi Liga Europa di Orange Velodrome, Marseille awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Brighton kelihatan akan kalah kali ketiga berturut-turut dalam semua pertandingan, namun momentum mereka meningkat apabila Pascal Gross menyambut hantaran Kaoru Mitoma untuk mengurangkan defisit gol.

Joao Pedro kemudian menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti selepas Tariq Lamptey dijatuhkan dalam kotak penalti dua minit sebelum tamat untuk meletakkan Brighton hanya satu mata di belakang Marseille dan Ajax dalam Kumpulan B.

West Ham turut berpeluang cerah mara ke pusingan 16 terakhir selepas melebarkan rekod tanpa kalah mereka di Eropah kepada 17 perlawanan.

Kemenangan 2-1 ke atas Freiburg menyaksikan mereka mencatat rekod baharu tanpa kalah buat kelab Inggeris di Eropah.

Loading...
Terkini