comscore
Tumpuan :
Sukan

MFL harap pasukan Liga M manfaat dana KBS

FOTO: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengharapkan pasukan Liga Malaysia (Liga M) dapat memanfaatkan sepenuhnya dana yang ditawarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menaik taraf padang bola sepak.

Justeru, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stuart Ramalingam melihat kerjasama antara pasukan dan kerajaan tempatan wajar dilakukan bagi merealisasikan hasrat itu yang pasti dapat memberikan banyak aspek positif khususnya dari segi profesionalisme Liga M.

“Kami mengalu-alukan cadangan daripada KBS di mana ideanya dikeluarkan oleh Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri. Perkara ini akan mengubah corak permainan serta penampilan bola sepak Malaysia.

“Padang adalah pentas untuk persembahan pemain, jadi kelab dan kerajaan tempatan boleh ambil keutamaan mengenai kepentingan persembahan pasukan dan juga keselamatan pemain.

“Ini bukan sahaja mengenai soal rumput Zeon Zoysia lebih baik daripada ‘cow grass’ tetapi mengenai tanahnya, sistem perparitan yang mungkin sudah terlampau usang dan perlu ditambah baik.

“Kebanyakan pasukan tiada pemilikan dan tiada kuasa keputusan dalam stadium dan di sinilah perlunya kerjasama antara pasukan dan kerajaan tempatan sebagai pemilik stadium,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan kolaborasi antara MFL dan minyak masak ALIF sebagai penaja Liga Malaysia (Liga M) untuk musim kedua berturut-turut hari ini.

Sebagai rekod, KBS sebelum ini menawarkan peruntukan melalui dana geran padanan kepada semua pasukan Liga M bagi menaik taraf padang bola sepak dengan penanaman rumput jenis Zeon Zoysia.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata tawaran itu dibuat ketika mesyuarat pertama KBS bersama EXCO setiap negeri yang diadakan Januari lalu dan kini pihaknya sedang menunggu maklum balas setiap wakil negeri yang dijangka disampaikan dalam mesyuarat kedua akan datang.

Katanya, setiap negeri perlu memilih satu stadium bagi projek menaik taraf padang itu dan menjalankan penyelenggaraan awal sebelum pihaknya meluluskan peruntukan tersebut. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini