comscore
Tumpuan :
Sukan

Selangor FC harap MFL ‘berhati perut’, tidak dikenakan hukuman berat

Skuad Selangor FC ketika aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) musim lalu. – FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Selangor FC (SFC) merayu agar Liga Bolasepak Malaysia (MFL) boleh ‘berhati perut’ dengan tidak mengenakan hukuman yang betul-betul berat ke atas pasukan itu susulan keputusan tidak hadir ke perlawanan Piala Sultan Haji Ahmad Shah, malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar menjelaskan, pihaknya akur dengan sebarang tindakan yang akan diambil badan pengendali liga itu, namun pelbagai faktor perlu dipertimbangkan memandangkan mereka sedang berdepan detik sukar membabitkan pemainnya, Faisal Halim ketika ini.

“Kalau kita tengok kenyataan yang dibuat SFC sebelum ini, sangat jelas pasukan terima apa jua keputusan MFL selagi mengikut peraturan atau garis panduan ditetapkan dalam industri bola sepak.

“Kita akur dengan apa sahaja keputusan daripada MFL tetapi saya harap kalau boleh, apa-apa hukuman selepas ini, janganlah yang terlalu membebankan pasukan.

“Terpulang (bentuk hukuman) kerana ini daripada bidang kuasa MFL. Tetapi saya harap tidak mengeruhkan keadaan lagi dan biarlah (keadaan) reda dan dengan itu, kita boleh memandang ke depan,” kata Shahril ketika ditemui di perkarangan sebuah hospital swasta, di sini, pagi tadi.

Terdahulu, skuad The Red Giants berkemungkinan berdepan tindakan lanjut daripada badan pengendali liga itu selepas mengambil keputusan untuk menarik diri daripada menentang JDT bagi aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam ini.

Selepas membatalkan perlawanan itu dan memberikan kemenangan percuma kepada skuad Harimau Selatan, MFL turut menjelaskan perkara lain berkenaan penarikan diri SFC itu akan diputuskan selepas mesyuarat bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“Keputusan SFC itu dimaklumkan menerusi surat rasmi yang dihantar kepada MFL sekali gus menyaksikan JDT bakal diberikan kemenangan ‘walkover’ dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata bagi perlawanan Liga Super (LS1).

“Perkara-perkara lain juga berkenaan penarikan diri itu akan dibawa ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan MFL.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini