comscore
Tumpuan :
Sukan

MGF Hargai Keringat Gimrama Negara

Oleh Fariz Fikri Zulkarnain

KUALA LUMPUR : Wira dan wirawati negara yang berjaya memenangi pingat di Sukan Komanwel Birmingham 2022 terus mendapat perhatian khususnya daripada persatuan sukan kebangsaan masing-masing.

Mengambil peluang cuti di hujung minggu, Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) meraikan pemenang dua pingat emas, Ng Joe Ee, pemenang pingat gangsa, Izzah Amzan dan seorang lagi gimnas negara, Koi Sei Yan sebelum masing-masing kembali memulakan sesi latihan kebangsaan, pada Isnin.

Majlis meraikan tiga gimnas negara itu dihadiri kepimpinan tertinggi MGF dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Pada temasya empat tahun sekali itu, Joe Ee muncul atlet kebangsaan paling berjaya bersama Mohd Aznil Bidin dari sukan angkat berat.

Gimnas berusia 17 tahun itu cemerlang memenangi dua pingat emas dalam disiplin bola dan riben pada penampilan pertamanya, sementara Izzah meraih gangsa menerusi disiplin belantan sekaligus membantu kontinjen negara menamatkan saingan di tempat ke-10 keseluruhan dengan tujuh pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa.

“Hujung tahun ini saya akan lebih bekerja keras untuk Sukan Asia tahun depan. Saya meraih banyak pengalaman tahun ini kerana terlibat dalam Sukan Sea, Sukan Komanwel dan kejohanan-kejohanan lain. Jadi saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk kejohanan akan datang.” kata Joe Ee

Sementara Izzah pula meletakan sasaran untuk melayakkan diri di Kejohanan Dunia yang dijadual berlangsung di Bulgaria pada14 hingga 18 September depan.

“Sekiranya saya terpilih ke Kejohanan Dunia, sasaran saya adalah untuk meraih keputusan yang lebih baik berbanding Kejuaraan Dunia sebelum ini. Jika terpilih, ini adalah Kejohanan Dunia ketiga buat saya,” katanya.

Hanya seorang atlet gimrama kebangsaan akan membawa cabaran Malaysia dengan difahamkan, MGF akan membuat keputusan dalam masa terdekat.

Loading...
Terkini