comscore
Tumpuan :
Sukan

Nasib baik Sikh Izhan tak cedera teruk

KUALA LUMPUR: Kecederaan membabitkan penjaga gol skuad bawah 23 tahun (B-23) negara Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman tidak membimbangkan walaupun diusung keluar selepas bertembung dengan pemain lawan, tempoh hari.

Sikh Izhan meluru keluar sebelum ‘bertembung’ dengan pemain lawan dalam perebutan bola di udara di luar kotak penalti ketika bertemu Kuwait, menyebabkan dia dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan dari Australia, Akexander King.

Pengurus skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar memaklumkan walaupun dilihat perlanggaran Sikh Izhan dengan Salman Mohammed agak teruk namun pemeriksaan lanjut mendapati kecederaan yang dialaminya tidak membimbangkan.

“Kecederaan dialami Sikh Izhan tidak membimbangkan. Alhamdulillah, dia pulih selepas menerima rawatan susulan. Jika lihat pada perlanggaran itu agak teruk dan dibimbangi mungkin dia terpaksa berehat panjang namun kecederaan yang dialami bukan serius,” katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Apapun tindakan Sikh Izhan yang meluru keluar daripada pintu gol dan  ‘menanduk’ muka lawan mendapat kritikan ramai termasuklah pemerhati bola sepak tempatan.

Keputusan menghalang lawan dengan cara sebegitu tidak sepatutnya dilakukan penjaga gol terbabit.

Akibatnya skuad kendalian Juan Torres Garrido terpaksa beraksi dengan 10 pemain, sekali gus merencatkan peluang meraih keputusan positif pada perlawanan itu.

Pada perlawanan berlangsung di Stadium Al-Jonoub, malam Selasa lalu, skuad muda negara menutup kempen Kumpulan D Piala Asia B-23 Qatar dengan tangan kosong apabila gagal mencatatkan sekurang-kurangnya keputusan seri untuk semua perlawanan diharungi mereka.

Skuad muda negara tewas 1-2 kepada Kuwait, melengkapkan tiga kekalahan berturut-turut,

Dua perlawanan awal Malaysia tewas 0-2, masing-masing di tangan Uzbekistan dan Vietnam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini