comscore
Tumpuan :
Sukan

Pelepasan cukai anak ikuti latihan sukan

Inisiatif baharu pelepasan cukai yang dimasukkan bagi perbelanjaan sukan termasuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan yang terhad sehingga RM1,000. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan hari ini  mengumumkan pelepasan cukai buat anak yang mengikuti latihan sukan.

Menurut menterinya Hannah Yeoh, ia adalah inisiatif baharu pelepasan cukai yang dimasukkan bagi perbelanjaan sukan termasuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan yang terhad sehingga RM1,000

“Kriteria latihan sukan yang layak mendapat pelepasan cukai iaitu pertamanya latihan secara ‘one-off’ atau bersiri yang diadakan secara berstruktur seperti kelas, klinik, kursus, bengkel dan sebagainya.

“Keduanya, jenis sukan adalah seperti yang tersenarai di bawah Jadual Pertama, Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576], iaitu 103 jenis sukan yang telah diwartakan.

“Ketiga, penyedia latihan mestilah persatuan, kelab sukan, syarikat yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan atau diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016.

“Perbelanjaan bagi yuran latihan sukan dibuktikan dengan resit pembayaran termasuk resit yang dijana secara dalam talian. Slip bank dan penyata akaun bank tidak boleh digunakan sebagai bukti atau resit pembayaran,” katanya pada sidang media pengumuman syarat-syarat pelepasan cukai bagi latihan sukan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hannah turut menasihatkan ibu bapa supaya membuat semakan terlebih dahulu bagi memastikan penyedia latihan sama ada persatuan, kelab atau syarikat menggunakan khidmat jurulatih yang berdaftar.

“Ibu bapa kena semak dahulu sama ada jurulatih itu adalah bernaung di bawah persatuan sukan ataupun kelab yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Sukan ataupun di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Kalau tidak, akan ada individu yang sewenang-wenangnya mendakwa diri mereka sebagai jurulatih, dan tiada siapa boleh sahkan.

“Untuk jangka masa panjang, kita mahu kesemua jurulatih ini mendapat tauliah daripada Institut Sukan Negara (ISN) kerana kita ada Kod Sukan Selamat.

“Kita mahu pastikan setiap jurulatih yang memberikan latihan itu mengikut syarat dan ketetapan persatuan sukan masing-masing,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini