comscore
Tumpuan :
Sukan

Penyertaan Palestin ke Pestabola Merdeka 2023 masih jadi tanda tanya

Datuk Hamidin Mohd Amin – Foto: NSTP

Oleh: Abdulah Sani

PETALING JAYA: Masih belum ada kepastian kehadiran Palestin pada saingan Pestabola Merdeka yang dijadual berlangsung Jumaat ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang dihubungi Buletin TV3 menjelaskan, penyertaan Palestin akan hanya diketahui lewat malam ini.

Bermakna masih ada harapan untuk menyaksikan kehadiran Palestin memeriahkan Pestabola Merdeka edisi ke-42 ini.

Mengikut jadual asal, Palestin akan menentang Tajikistan di Stadium Bukit Jalil pada sebelah petang 13 Oktober, diikuti pertemuan Malaysia dan India.

Aksi Palestin di Stadium Nasional Bukit Jalil masih jadi tanda tanya.

Pasukan yang muncul pemenang akan berentap pada aksi final yang dijadual pada 17 Oktober.

Memetik laporan portal media tempatan, Palestin berkemungkinan besar menarik diri berikutan perang Israel-Palestin yang tercetus.

Menurut laporan itu lagi, FAM kesuntukan masa untuk memanggil pasukan lain termasuk dari negara jiran dan terpaksa mengubah format perlawanan bagi memastikan kejohanan itu berlangsung tanpa sebarang masalah.

Perubahan lain yang dilakukan adalah perlawanan kedua membabitkan Tajikistan-India kemungkinan akan berlangsung di Stadium Bola Sepak Cheras dan tarikh akan diumumkan kelak.

Sementara itu, perkongsian Persatuan Bolasepak Palestin (PFA) di laman sosialnya memaklumkan, semua perlawanan Liga Palestin perlu dihentikan untuk sementara waktu.

PFA mengumumkan, semua perlawanan Liga Premier Tebing Barat (WBPL) dan Liga Premier Jalur Gaza tidak akan berlangsung dalam minggu ini, memandangkan keadaan yang tidak mengizinkan.

Situasi itu juga mungkin menjejaskan perlawanan Palestin dan Malaysia susulan semua lintasan sempadan dan lapangan terbang ditutup.

Apapun, mengambil kira perkongsian Buletin TV3 bersama Datuk Hamidin malam ini, masih ada harapan untuk Palestin hadir memeriahkan Pestabola Merdeka 2023.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini