comscore
Tumpuan :
Sukan

Junior Eldstal imbau kejuaraan Pestabola Merdeka 2013

FOTO: FAM/ Facebook

PETALING JAYA: Kenangan membantu Malaysia menjuarai Pestabola Merdeka 2013 menjadi suntikan semangat buat pemain pertahanan negara Junior Eldstal menjelang edisi 2023 yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini.

Lebih manis Eldstal yang beraksi bersama Harimau Muda yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee ketika itu berjaya menjaringkan satu gol membantu skuad negara muncul juara menewaskan Myanmar 2-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Darulmakmur, Kuantan, Pahang.

“Sudah tentu mahu ulang balik, ketika itu saya dapat jaringkan gol lagi ketika bermain sebagai pemain tengah tetapi sekarang nak naik di bahagian atas agak sukar.“Harap-harap kita mampu melakar satu lagi sejarah pada edisi kali ini,” katanya kepada pemberita pada hari kedua kem latihan pusat Harimau Malaya di sini petang tadi.

Meskipun menyedari persaingan sengit untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama, pemain berusia 32 tahun itu optimis hubungan baik beliau dengan Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon sedikit sebanyak membantunya untuk diberikan kepercayaan diturunkan pada edisi ke-42 kejohanan itu nanti..

Dia yang beraksi bersama kelab Liga 1 Indonesia, Dewa United, juga optimis prestasi memberangsangkan skuad kebangsaan mengikat dua pasukan di kelompok 100 dunia iaitu Syria (ke-90) 2-2 dan China (ke-81) 1-1 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Chengdu bulan lepas melonjakkan semangat mereka untuk tampil lebih garang pada Pestabola Merdeka 2023.

Malaysia muncul pasukan paling banyak bergelar juara Pestabola Merdeka dengan 12 gelaran dan akan membuka tirai saingan 2023 menentang India Jumaat ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kejohanan empat pasukan itu juga akan menyaksikan Palestin menentang Tajikistan dalam satu lagi perlawanan bagi penentuan untuk ke final sama ada menentang Malaysia atau India pada 17 Okt.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini