comscore
Tumpuan :
Sukan

Permintaan Pandelela akan dibincangkan dalam mesyuarat pertama RTG

PUTRAJAYA: Permintaan ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong agar atlet diberi khidmat sokongan sains sukan lebih konsisten menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 akan dibincangkan dalam mesyuarat pertama Jawatankuasa Road To Gold (RTG), Khamis ini.

Menurut Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, maklum balas yang dilontarkan Datuk Pandelela dan seumpama dengannya akan menjadi keutamaan pihaknya dalam memastikan Malaysia mencapai impian meraih pingat emas pertama Olimpik.

“Apa yang Pandelela bangkitkan adalah sebab utama kita wujudkan RTG ini dan membantu atlet-atlet yang berpotensi untuk sumbang pingat.

“Kita nak bagi sokongan lebih baik, tambahan daripada apa yang mereka dapat menerusi Program Podium sekarang.

“Beberapa isu telah diketengahkan dalam perhatian RTG dan kita akan bincangkan semua isu ini dalam mesyuarat, ada beberapa isu akan ditambah baik,” jelas Hannah yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa RTG.

Semalam, Datuk Pandelela berharap skuad terjun negara mendapat khidmat sokongan yang lebih konsisten seperti tukang urut, biomekanik dan juruanalisis seperti disediakan ketika Sukan Olimpik London 2012 dan Rio 2016.

Untuk rekod, Datuk Pandelela meraih pingat gangsa menerusi acara 10 meter (m) platform pada Olimpik London 2012 dan kemudian memenangi perak dalam 10m platform seirama bergandingan bersama Cheong Jun Hoong pada edisi 2016.

Sementara itu, Hannah berkata Jawatankuasa RTG tidak mahu mengumumkan dahulu senarai atlet dalam program tersebut atas permintaan tiga bekas atlet – Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David dan Datuk Mirnawan Nawawi – yang berada dalam jawatankuasa berkenaan.

“Kita belum bincang dengan teliti, kalau ikut perspektif pentadbir, kita suka nak umum, tetapi kita nak hormati perspektif bekas atlet juga. Jawatankuasa ini akan buat reviu berkala, contohnya atlet itu ranking 10 teratas dunia sekarang, tapi tahun depan langsung tak layak yang perlu dikeluarkan, dan ada atlet baharu yang akan masuk kerana layak,” katanya.

Ditanya mengenai beberapa negara yang dikatakan mahu memboikot temasya Olimpik atau kejohanan kelayakan ke Paris 2024 jika ada penyertaan dari atlet Rusia dan Belarus, Hannah berkata perkara berkaitan itu belum dibincangkan.

Baru-baru ini, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membenarkan atlet Rusia dan Belarus untuk beraksi dalam kejohanan kelayakan sebagai atlet neutral, namun ia tidak disenangi oleh Ukraine dan beberapa negara barat yang mengancam untuk memboikot kerana konflik Rusia-Ukraine masih berlarutan sejak Februari tahun lalu.

Loading...
Terkini