comscore
Tumpuan :
Sukan

PIALA DUNIA 2022 : Dunia Arab raikan kejayaan Maghribi singkir Portugal 

Pemain Maghribi, Youssef En-Nesyri menjaringkan gol pembukaan Magribi ketika aksi suku akhir Piala Dunia di Stadium Al Thumama, Doha. – FOTO : Reuters

DOHA: Dunia Arab meraikan kejayaan Maghribi menewaskan Portugal 1-0 di Qatar malam tadi, sekali gus menjadi negara Afrika pertama layak ke separuh akhir Piala Dunia.

Pada suku akhir Piala Dunia 2022 di Stadium Al Thumama, ledakan gol tunggal Maghribi disempurnakan Youssef En-Nesyri.

Penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou melihat rembatan pemain Portugal, Bruno Fernandes terkena palang ketika aksi suku akhir Piala Dunia di Stadium Al Thumama, Doha. – FOTO : Reuters REUTERS

En-Nesyri, yang dua kali tandukannya melepasi palang sebelum itu, melompat tinggi mengatasi penjaga gol Portugal, Diogo Costa dan pertahanan, Ruben Dias pada minit ke-42 untuk meletakkan Maghribi di depan.

Penyerang Portugal, Joao Felix mempunyai dua peluang untuk meletakkan pasukannya di depan, tetapi penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou menyelamatkan keadaan pada minit ke-31 dan satu lagi tersasar.

Bruno Fernandes juga mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan sebelum rehat, namun rembatannya dari sebelah kanan padang terkena palang.

Penyokong Maghribi di Rabat meraikan kejayaan pasukan mereka mara ke separuh akhir Piala Dunia selepas menewaskan Portugal 1-0. – FOTO : AFP

Cristiano Ronaldo, yang dimasukkan di awal babak kedua, mempunyai peluang di akhir permainan untuk menjaringkan gol untuk Portugal, namun Bounou sekali lagi pantas menyelamatkan keadaan.

Sementara itu di Casablanca rakyat negara itu berkumpul  sambil berteriak “Layak! Layak!”

“Jantung saya akan berhenti, pasukan yang hebat, pencapaian yang tidak disangka,” kata Ilham El Idrissi, 34.

Wanita itu tidak berseorangan dalam memberikan sanjungan kepada ‘Singa Atlas’ yang akan berentap dengan juara bertahan, Perancis bagi merebut slot ke final.

“Saya bagaikan bermimpi ketika sedang berjaga. Satu kebanggaan dan saya berterima kasih kepada barisan pemain,” kata Mouad Khairat, 29.

“Maghribi sudah melakukan sesuatu yang mustahil dan kini kami mahukan trofi itu.”

“Tiada yang mustahil dalam bola sepak, itulah keajaiban sukan ini,” kata bekas pemain Maghribi, Abderrazak Khairi yang meledak dua gol menentang Portugal pada Piala Dunia 1986 sekali gus menjadi negara Afrika pertama layak ke pusingan kalah mati.

Di Paris, penyokong Maghribi berhimpun di Champs Elysees yang menjadi lokasi penyokong Perancis meraikan kejayaan pasukan mereka menjulang Piala Dunia 2018

“Satu kebanggaan untuk semua negara Arab dan Afrika,” kata Maamar, 27, yang mengibarkan bendera Maghribi namun berasal dari Algeria.

“Apa sahaja yang berlaku, kami adalah empat pasukan terbaik di dunia.

“Dounia, 23 yang berketurunan Perancis-Maghribi menjelaskan kemenangan pasukan itu begitu hebat dan berkata ‘ini adalah hadiah hari jadi terbaik dalam hidup saya.” – AFP

Loading...
Terkini