comscore
Tumpuan :
Sukan

Piala Dunia 2022 – Sepakan penalti mungkin jadi penentu bagi pertemuan Belanda, Argentina

Van Gaal kendali sesi latihan skuad Belanda. – FOTO: Reuters

Oleh Al Shaiful Nazib Talib

AL-RAYYAN: Sepakan penalti mungkin jadi penentu pada pertemuan suku akhir antara Belanda dan Argentina jam 3 pagi nanti.

Dan ia menjadi detik yang sukar dilupakan Belanda apabila gagal untuk ke perlawanan akhir pada edisi 2014 selepas dikecewakan pasukan sama, Argentina menerusi penentuan sepakan penalti di peringkat separuh akhir.

“Saya tidak mengambil sepakan penalti tetapi saya ada bersama pasukan ketika itu pada 2014, memang tekanan agak tinggi, tetapi kami pemain professional, seharusnya kami kena sedia untuk menghadapi situasi sebegitu.

“Kita belum mengalami sebarang kekalahan setakat ini, saya rasa disiplin kami sepasukan sejak kempen bermula sangat bagus, memang penting untuk mendapatkan keputusan bagus, terutamanya di kejohanan ini, semua tahu visi dan karekter Louis Van Gaal, ia antara kualiti yang membentuk paaukan ini menjadi kuat, boleh bermain dengan cara berbeza-beza, boleh menang perlawanan dengan strategi berbeza, mentaliti yang dibawa ke dalam pasukan, segalanya cukup jelas untuk semua pemain,” kata penyerang Belanda, Memphis Depay.

Pada edisi 2014, pertemuan Belanda dan Argentina di peringkat separuh akhir diheret sehingga penentuan sepakan penalti selepas aksi 120 minit perlawanan terikat tanpa jaringan.

Belanda terlepas peluang untuk ke perlawanan akhir selepas tewas 2-4 pada penentuan sepakan penalti itu.

Berbeza dengan kempen 2022, rata-rata Belanda dibarisi muka baharu dan pastinya persembahan berbeza akan disajikan skuad kendalian Louis Van Gaal untuk mengisi salah satu slot separuh akhir.

“Argentina sebuah pasukan hebat dengan pilihan pemain yang hebat, kempen sebenar bermula dengan perlawanan ini untuk kami, bukan hendak memperkecilkan pasukan lain yang telah kami tewaskan, tetapi Argentina dan Brazil berada ditahap berbeza berbanding pasukan yang telah kami hadapi sebelum peringkat ini.

“Pemain-pemain saya cukup professional untuk berdepan dengan kemungkinan lebih 40,000 penyokong lawan, memang bukan mudah untuk berdepan dengan jumlah penyokong seramai itu sedangkan jumlah penyokong kami agak kecil,” kata Van Gaal.

Messi jalani latihan bersama rakan sepasukan. – FOTO: Reuters

Rekod pertemuan kedua-dua pasukan menyaksikan Belanda menang empat kali, manakala Argentina menang tiga kali termasuk pertemuan terakhir kedua-dua pasukan pada peringkat separuh akhir Piala Dunia 2014.

“Perlawanan ini pasti akan menjadi cukup menarik, saya sangat pasti kerana kedua-dua pasukan bermain secara menyerang, pada masa sama turut memberi perhatian kepada bahagian pertahanan sama seperti kami, inilah bola sepak masakini, jika hanya memberi perhatian kepada serangan, anda akan terima balasannya.

“Kita telah pun menjalani latihan akhir pasukan, selepas perlawanan lalu, pemain-pemain ada yang menjalani latihan sendiri, ada yang hanya jalani latihan biasa kerana telah beraksi banyak perlawanan, keputusan saya nanti bergantung pada pelan pasukan untuk perlawanan menentang Belanda nanti, itu paling penting.

“Mereka telah jalani latihan sepakan penalti, mereka sering melakukannya setiap selepas sesi latihan, tetapi pada akjirnya, penentuan sepakan penalti bagaikan satu perjudian, harap ia tidak akan sampai ke situ, harap kami boleh selesaikan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan tetapi kami tetap bersedia sekiranya ia berlaku,” kata Lionel Scaloni, pengendali Argentina.

Pemenang perlawanan ini bakal berdepan sama ada Brazil ataupun Croatia di peringkat separuh akhir.

Aksi suku akhir antara Belanda dan Argentina akan berlangsung di Stadium Lusail jam 3 pagi esok.

Loading...
Terkini