comscore
Tumpuan :
Sukan

Piala FA: Terengganu FC singkir Sabah FC, mara ke separuh akhir

Foto Sabah FC

KOTA KINABALU: Terengganu FC menepati sasaran layak ke separuh akhir Piala FA selepas mengatasi Sabah FC dengan agregat 7-0 sejurus tamat perlawanan kedua suku akhir di Stadium Likas, sebentar tadi.

Berbekalkan jumlah jaringan yang selesa selepas kemenangan besar 4-0 ke atas Sabah pada aksi suku akhir pertama di Kuala Terengganu minggu lalu, Terengganu jelas tidak goyah bertandang ke Likas.

Malah, pasukan bimbingan Tomislav Steinbrucker itu mengecewakan Sabah apabila berjaya mencipta gol awal menerusi Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-10 permainan.

Ia sekali gus memusnahkan harapan Sabah untuk mendahului jaringan bagi menyuntik semangat mereka pada suku akhir kedua ini.

Meskipun Sabah berusaha mengubah kedudukan menerusi beberapa cubaan mereka, namun serangan dilakukan agak tumpul selain mudah dipatahkan pasukan lawan yang menafikan misi Sang Badak.

Sebaliknya, Terengganu melebarkan lagi agregat kemenangan mereka apabila Muhammad Akhyar Abdul Rashid menyumbang gol kedua pasukannya pada minit ke-42 sekali gus mendahului perlawanan dengan 2-0 pada separuh masa pertama.

Beralih ke babak kedua, Sabah cuba bangkit sejurus perlawanan bersambung untuk mendapatkan gol bagi sekurang-kurangnya merapatkan jurang agregat, namun belum juga berhasil.

Pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu kelihatan lebih agresif pada separuh masa kedua, namun nasib masih tidak menyebelahi Sang Badak berikutan kekebalan pertahanan Sang Penyu.

Kecekapan penjaga gol Terengganu, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin juga menjadi punca beberapa cubaan Sang Badak dapat dihalang dengan baik daripada terlepas ke dalam gawang.

Penyerang import Sabah, Ramon Machado yang akan meninggalkan pasukan selepas perlawanan malam ini juga tidak berpeluang mencipta gol walaupun mendapat beberapa hantaran menarik daripada rakan sepasukan.

Sebaliknya, Terengganu berjaya menambah satu lagi gol pada minit ke-86 menerusi sepakan percuma penyerang importnya, Marin Pilj selepas gagal dihalang penjaga gol Sabah, Khairul Fahmi Che Mat.

Dengan gol ketiga itu, pasukan pelawat akhirnya mencatat kemenangan 3-0, sekali gus melayakkan Terengganu meneruskan aksi ke separuh akhir Piala FA 2024 setelah mengumpul agregat besar 7-0 ke atas Sabah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini