comscore
Tumpuan :
Sukan

Piala Thomas: Kemenangan ke atas Hong Kong lonjak keyakinan kem perseorangan

CHENGDU: Meskipun diturunkan tanpa jangkaan tinggi, kem perseorangan negara Piala Thomas 2024 di sini berjaya membuktikan kemampuan mereka, sekurang-kurangnya selepas mengetepikan pemain Hong Kong dalam aksi pembukaan Kumpulan D hari ini.

Selepas pemain profesional Lee Zii Jia meletakkan Malaysia 1-0 usai kemenangan straight set ke atas Lee Cheuk Yiu, 21-18, 21-18, fokus terarah kepada Leong Jun Hao dan Justin Hoh ketika mereka melangkah ke gelanggang di Chengdu High-Tech Zone Sports Centre.

Ternyata, kedua-dua pemain itu tidak menghampakan penyokong negara apabila mereka melaksanakan tugas dengan baik untuk membantu Malaysia menewaskan Hong Kong 5-0.

Pemain ke-37 dunia Jun Hao, yang mengesahkan mata kemenangan Malaysia dengan menundukkan Angus Ka Long (ke-27) 17-21, 21-12, 21-15, percaya keputusan hari ini melonjakkan keyakinan mereka untuk menentang pemain pada ranking lebih tinggi di sini.

“Saya harap kami akan terus bermain dengan baik dan berjuang untuk memperoleh satu mata bagi pasukan. Pastinya kemenangan ini memberi saya rangsangan untuk beraksi dalam perlawanan seterusnya kerana agak sukar menentang Angus tadi,” katanya kepada media Malaysia selepas perlawanan di sini.

Dalam pada itu, kapten pasukan Soh Wooi Yik berharap mereka akan meneruskan momentum kemenangan itu pada perlawanan seterusnya, manakala pasangan beregunya Aaron Chia optimis kejayaan ke atas Hong Kong akan membuka pintu untuk Malaysia muncul sebagai pasukan dua teratas Kumpulan D sekali gus layak ke suku akhir.

Aaron-Wooi Yik mencatatkan mata kedua negara selepas menewaskan Law Cheuk Him-Yeung Shing Choi 21-16, 21-12 manakala beregu kedua Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menyumbang mata keempat dengan kemenangan 21-19, 21-18 ke atas Reginald Lee-Tang Chun Man.

Malaysia, juara lima kali, perlu mengatasi Algeria dalam aksi kedua esok untuk berpeluang layak ke suku akhir, sebelum menamatkan kempen Kumpulan D menentang juara 2016 dan pasukan kuat dari Eropah, Denmark, Selasa ini.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini