comscore
Tumpuan :
Sukan

Sabah hantar kontinjen terkuat ke SUKMA XXI Sarawak

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor (dua kanan) menerima maskot SUKMA Sarawak XXI daripada Abdul Karim ketika kunjungan hormat di Kota Kinabalu. Foto/Ihsan Jabatan Ketua Menteri Sabah.- Foto: NSTP

KOTA KINABALU: Sabah akan menghantar kontinjen terkuatnya bagi menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA XXI Sarawak yang dijadual bermula pada 17 Ogos depan.

Perkara itu dinyatakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak di pejabatnya, di Menara Kinabalu, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, kontinjen Sabah akan memberi saingan hebat kepada negeri lain termasuk tuan rumah, Sarawak sepanjang temasya sukan itu nanti.

“Kita akan menghantar kontinjen terkuat yang bakal memberi saingan hebat kepada kontinjen negeri lain, termasuk tuan rumah, Sarawak.

“Saya juga yakin penganjuran SUKMA kali ini akan berjalan dengan baik kerana Sarawak boleh melakukan yang terbaik,” katanya.

Kunjungan hormat itu diketuai Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Selain memberi taklimat persiapan Sarawak, Abdul Karim turut menyerahkan surat jemputan rasmi kepada Hajiji untuk menghadiri majlis perasmian SUKMA XXI Sarawak nanti.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, persiapan SUKMA XXI Sarawak yang hanya tinggal 58 hari lagi sudah cukup teratur.

Katanya, penganjuran acara sukan yang dipertandingkan pada SUKMA kali ini akan diadakan di sembilan bahagian negeri itu.

“Sabah adalah negeri terakhir yang dikunjungi oleh Jawatankuasa Induk SUKMA dan Para SUKMA XXI selepas mengunjungi semua negeri termasuk Negara Brunei Darussalam,” katanya.

Rombongan Abdul Karim turut disertai Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah dan Timbalan Menterinya, Datuk Rosey Yunus.

Turut serta ialah Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXI Sarawak 2024, Datuk Hii Chang Ker; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Felicia Tan; Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Morshidi Fredrick dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Semawi Mohamad.

Hadir sama di pihak Sabah pula ialah Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Angin dan Pembantu Menterinya, Datuk Fairuz Renddan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Negeri, Datuk Mansur Asun.

Kekuatan kontinjen Sabah yang akan menyertai temasya sukan negara itu dijangka diumumkan tidak lama lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini