comscore
Tumpuan :
Sukan

Satu final Eropah bukan penentu karier – De Bruyne

FOTO: Reuters

LONDON: Legasi Kevin de Bruyne tidak akan ditentukan daripada keputusan final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada awal pagi Ahad ini, kata pemain tengah itu menjelang pertembungan antara Manchester City dan Inter Milan di Istanbul.

De Bruyne kini memenangi lima gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), dua Piala FA dan lima Piala Liga bersama City, tetapi gelaran di Eropah belum pernah dikecap bintang Belgium itu dan detik paling hampir ketika tewas 0-1 di tangan Chelsea di final musim 2021.

“Ia bergantung kepada siapa yang anda tanya (sama ada status City bergantung kepada gelaran UCL). Apapun, hampir semua pemain memang sudah luar biasa,” kata De Bruyne.

“Adakah ia membantu? Ya. Tetapi, 90 minit tidak akan menentukan satu karier. Saya bermain 700 perlawanan, jadi 90 minit daripada 700 perlawanan tidak akan mendefinisikan karier saya. Tetapi, sudah tentu ia akan membantu karier saya,” katanya.

City menewaskan musuh ketat, Manchester United 2-1 di final Piala FA, Sabtu lalu, untuk terus memburu gelaran ketiga musim ini selepas memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Malah, mereka adalah pasukan pilihan untuk menewaskan Inter di final UCL, hujung minggu ini, sekali gus merangkul trofi ketiga.

“Kami berhak untuk menang. Saya amat gembira dan sangat bangga,” kata De Bruyne.

“Kami sepatutnya menikmati minggu depan dan diharapkan kami dapat bermain sebaik mungkin. Inter adalah pasukan bagus, jadi peluang final nanti 50-50.

“Ia sentiasa sukar. Anda perlu menguruskan detik penting ini. Ada detik sukar, tetapi kami akan berusaha menyelesaikan tugas pada detik penting ini.

“Inter memiliki ramai pemain hebat dan kami perlu menghormati mereka. Mereka mara ke final bukan dengan menundukkan pasukan mudah,” katanya.

Loading...
Terkini