comscore
Tumpuan :
Sukan

[VIDEO] “Saya dimaklumkan tidak lagi perlu datang kerja esok” – Misbun Sidek

 

KUALA LUMPUR: Datuk Misbun Sidek mendakwa perpisahannya dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bukanlah secara persetujuan bersama, seperti yang diumumkan oleh badan induk itu sebelum ini.

Sebaliknya, Bekas Pengarah Pembangunan Remaja Negara berusia 63 tahun itu, berkata keputusan berhubung perkara berkenaan dibuat tanpa sebarang perbincangan dengan dirinya.

“Semua keputusan sudah diatur. Kata saya terima tetapi sebenarnya tidak. Padahal ia tidak diulas atau dibentang secara keseluruhan.

“Sebab masa mesyuarat tempoh hari, saya dipanggil dan dimaklumkan bahawa “saya tidak lagi perlu datang kerja esok” dan diberhenti serta-merta atas alasan tidak berjaya.

“Rasa terkilan dan kecewa. Sekarang tiada sebarang pembelaan yang saya boleh buat.

“Apa salahnya jika mereka bagi saya peluang teruskan hingga ke Kejohanan Dunia. Tinggal beberapa bulan lagi. Namun, saya tidak diberi peluang untuk bercakap dan runding,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Menurut Misbun, beliau juga tidak boleh menerima apabila dirinya dijadikan kambing hitam disebabkan kegagalan keseluruhan skuad remaja negara di Kejohanan Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia dua minggu lalu, ketika beliau hanya bertanggungjawab ke atas pemain perseorangan.

“Kenapa pula saya menjadi sasaran di atas kegagalan keseluruhan pasukan? Walhal saya hanya jaga single (perseorangan).

“Kenapa pula saya jadi sasaran? Beregu pun tidak berjaya.

“Kalau mereka kata modul saya ‘outdated’ (ketinggalan zaman) tetapi saya sudah buktikan saya lahirkan tiga pemain nombor satu dunia (Datuk Lee Chong Wei, Roslin Hashim dan Wong Choong Hann). Saya guna modul yang sama,” katanya.

Malah, Misbun turut mendedahkan beliau berdepan dengan kesukaran untuk melaksanakan program latihan yang sudah disusunnya, disebabkan campur tangan daripada pihak pengurusan.

Jumaat lalu, BAM mengumumkan, badan induk itu mencapai kata sepakat dengan Misbun untuk menamatkan kontraknya selaku Pengarah Pembangunan Remaja Negara lebih awal, berbanding yang sepatutnya pada Disember depan.

Ia susulan kemerosotan prestasi dialami pemain remaja termasuklah aksi hambar mereka ketika Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, awal bulan ini apabila pulang dengan tangan kosong.

Ini adalah kali ketiga Misbun berpisah dengan BAM selaku jurulatih, selepas kali pertama pada awal 1990-an dan 2011.

Loading...
Terkini